AS, Ukraine sedia tanda tangan perjanjian mineral hari ini - Laporan
Agensi
Mac 4, 2025 07:10 MYT
Mac 4, 2025 07:10 MYT
Pentadbiran Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump (kiri) dan Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskyy merancang untuk menandatangani perjanjian mineral hari ini. - Gambar fail
NEW YORK: Pentadbiran Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, dan Ukraine merancang untuk menandatangani perjanjian mineral yang banyak diperdebatkan selepas pertemuan yang tegang di Pejabat Oval pada Jumaat lalu, di mana Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskyy, telah diarah keluar dari bangunan, kata empat sumber Reuters yang mengetahui perkara itu pada Selasa.
Presiden Trump telah memberitahu penasihatnya bahawa beliau mahu mengumumkan perjanjian tersebut dalam ucapannya kepada Kongres pada malam Selasa (Rabu, waktu Malaysia), kata tiga daripada sumber tersebut.
Namun, mereka memberi amaran bahawa perjanjian itu masih belum ditandatangani dan situasi boleh berubah.
White House pula belum mengeluarkan sebarang kenyataan selepas diminta mengulas perkembangan terbaharu itu.
Pentadbiran Presiden Ukraine di Kyiv dan Kedutaan Ukraine di Washington juga belum memberikan sebarang komen mengenai perkara ini.
Perjanjian ini telah ditangguhkan pada Jumaat lalu selepas pertemuan tegang di Pejabat Oval antara Trump dan Zelenskyy, yang mengakibatkan pemimpin Ukraine itu segera meninggalkan White House.
Zelenskyy telah melakukan perjalanan ke Washington untuk menandatangani perjanjian tersebut.
Dalam pertemuan itu, Trump dan Naib Presiden JD Vance menegur Zelenskyy, dengan menyatakan Presiden Ukraine itu seharusnya berterima kasih kepada AS atas sokongan yang diberikan dan bukannya terus meminta bantuan tambahan di hadapan media AS.
"Anda sedang mempertaruhkan Perang Dunia Ketiga," kata Trump.
Pegawai AS dalam beberapa hari kebelakangan ini telah berbincang dengan pegawai di Kyiv mengenai kemungkinan meneruskan perjanjian mineral itu walaupun berlaku ketegangan pada hari Jumaat.
Mereka juga menggesa para penasihat Zelenskyy supaya meyakinkan Presiden Ukraine itu untuk meminta maaf secara terbuka kepada Trump, menurut seorang sumber yang mengetahui perkara tersebut.
Terbaharu, Zelenskyy memuat naik kenyataan di X bahawa Ukraine bersedia untuk menandatangani perjanjian tersebut, sambil menyifatkan pertemuan di Pejabat Oval sebagai "dikesalkan."
"Pertemuan kami di Washington, di White House pada hari Jumaat, tidak berjalan seperti yang sepatutnya," tulis Zelenskyy.
"Ukraine bersedia untuk duduk di meja rundingan secepat mungkin bagi membawa keamanan yang berkekalan lebih dekat."
Tidak jelas sama ada perjanjian itu telah diubah.
Perjanjian yang sepatutnya ditandatangani minggu lalu tidak mengandungi sebarang jaminan keselamatan eksplisit untuk Ukraine tetapi memberikan AS akses kepada hasil pendapatan sumber semula jadi Ukraine.
Ia juga menetapkan bahawa kerajaan Ukraine akan menyumbang 50 peratus daripada hasil masa depan daripada sebarang pemanfaatan sumber semula jadi milik negara ke dalam dana pelaburan pembinaan semula yang diuruskan bersama oleh AS dan Ukraine.
Pada hari Isnin, Trump memberi isyarat pentadbirannya masih terbuka untuk menandatangani perjanjian itu, dengan memberitahu pemberita Ukraine "sepatutnya lebih bersyukur."
"Negara ini telah bersama mereka dalam keadaan susah dan senang," kata Trump.
"Kami telah memberikan mereka jauh lebih banyak daripada Eropah dan sepatutnya Eropah yang memberi lebih banyak berbanding kami." - Agensi