Ukraine sahkan Statut Rom, buka jalan untuk keahlian ICC

Bernama
Ogos 22, 2024 18:30 MYT
Langkah ini membuka jalan untuk negara itu menjadi anggota Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC). - Gambar hiasan
KYIV: Parlimen Ukraine pada Rabu mengundi untuk meratifikasi Statut Rom dengan 281 undi menyokong berbanding satu menentang, manakala 22 lagi Ahli Parlimen berkecuali.
Langkah ini membuka jalan untuk negara itu menjadi anggota Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC), menurut Ahli Parlimen Yaroslav Zheleznyak di Telegram, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Langkah ini diluluskan dengan pengecualian sementara berkaitan tentera Ukraine.
Walaupun Ukraine menandatangani statut itu pada Januari 2000, parlimennya belum meratifikasinya.
Statut itu membentuk asas untuk mahkamah, yang terletak di The Hague dan memberi tumpuan terutamanya kepada pembunuhan beramai-ramai, jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan.
Ratifikasi itu diluluskan dengan ketetapan bahawa Ukraine tidak akan mengiktiraf bidang kuasa mahkamah terhadap warganegara Ukraine bagi jenayah perang selama tujuh tahun selepas diterima pakai secara rasmi.
Terdapat kebimbangan bahawa anggota tentera mungkin berdepan tuduhan jenayah perang dalam kes tertentu semasa perjuangan menentang pencerobohan Rusia.
Kiev menjelaskan bahawa permintaan ICC untuk kerjasama boleh dibuat melalui saluran diplomatik, terus kepada pendakwa raya negara Ukraine atau kepada Kementerian Kehakiman - dalam bahasa Ukraine.
Statut ini akan berkuat kuasa dalam beberapa minggu. Walaupun 139 negara menandatangani statut ini, hanya 124 negara telah meratifikasinya. Rusia dan Amerika Syarikat menandatangani Statut Rom tetapi tidak meratifikasinya.
-- BERNAMA
#Ukraine #Statut Rom #ICC #Mahkamah Jenayah Antarabangsa