Ukraine, Rusia lapor serangan udara baharu
Bernama
Ogos 18, 2024 04:00 MYT
Ogos 18, 2024 04:00 MYT
MOSCOW: Pihak berkuasa Ukraine dan Rusia masing-masing melaporkan terdapat serangan udara di wilayah mereka pada Ahad, menurut agensi berita Jerman (dpa).
Kyiv diserang pada waktu malam oleh apa yang dipercayai sebagai peluru berpandu krus Iskander-K, lapor Serhii Popko, komander tentera ibu negara Ukraine. Pertahanan udara bandar itu berjaya memintas peluru berpandu berkenaan dan tiada laporan mengenai kecederaan atau kerosakan, katanya.
Vassili Golubev, Gabenor Wilayah Rostov di Rusia yang bersempadan dengan Ukraine melaporkan bahawa serpihan dron yang dipintas telah jatuh di sebuah depot bahan api, menyebabkan kebakaran sebuah tangki diesel.
Rostov terletak betul-betul di sebelah timur Ukraine dan diserang dron berulang kali sepanjang malam. Sebuah depot penyimpanan minyak di wilayah itu mengalami kerosakan teruk pada awal bulan ini.
Gabenor Wilayah Kursk yang diserang oleh tentera Ukraine awal bulan ini, Alexei Smirnov melaporkan siren amaran serangan udara berbunyi hampir sepanjang masa. Pasukan pembaikan sedang berusaha membaiki kerosakan pada infrastruktur tenaga, katanya.
Tentera Ukraine mengawal puluhan penempatan di wilayah timur laut Ukraine. Penulis blog tentera Rusia melaporkan bahawa tentera Ukraine sedang berusaha memperbaiki kedudukan mereka, tetapi serangan itu telah dipatahkan.
Mereka melaporkan bahawa pasukan Ukraine menggunakan roket HIMARS buatan AS dan dron.
Terdahulu, Presiden Ukraine Volodymyr Zelensky berkata serangan di Kursk, yang bermula pada 6 Ogos berjalan mengikut rancangan. Tentera Ukraine telah memperbaiki kedudukan mereka dan meneruskan kemaraan, katanya.
Serangan darat yang belum pernah berlaku sebelum ini oleh Ukraine di Wilayah Kursk berlaku di tengah-tengah pencerobohan besar-besaran Rusia yang berterusan, yang dilancarkan pada Februari 2022. Kyiv berusaha untuk membawa Moscow ke meja rundingan untuk menamatkan perang.
-- BERNAMA