Ukraine-Rusia: Amerika Syarikat umum sekatan terhadap Rusia

Astro Awani
Februari 23, 2022 10:40 MYT
Biden memberi amaran lebih banyak sekatan akan dikenakan jika Putin meneruskan pencerobohan terhadap Ukraine. - Foto REUTERS
WASHINGTON DC: Amerika Syarikat umum sekatan kewangan yang tegas terhadap bank dan pemimpin kartel Rusia pada Selasa.
Presiden Joe Biden mengisytiharkan Moscow secara terang-terangan melanggar undang-undang antarabangsa dengan menceroboh Ukraine.
"Hari ini saya mengumumkan peringkat pertama sekatan untuk mengenakan kos ke atas Rusia sebagai tindak balas terhadap tindakan mereka semalam.
"Ini telah diselaraskan rapat dengan sekutu dan rakan kongsi kami dan akan terus meningkatkan sekatan jika rusia tidak hentikan tindakan mereka," katanya.
Biden memberi amaran lebih banyak sekatan akan dikenakan jika Putin meneruskan pencerobohan terhadap Ukraine.
Biden turut memaklumkan pemindahan tentera Amerika Syarikat tambahan ke negara-negara Baltik di sayap timur Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) yang bersempadan dengan Rusia.
Biden menyertai 27 ahli Kesatuan Eropah (EU) yang sebulat suara bersetuju untuk mengenakan sekatan awal mereka sendiri yang menyasarkan pegawai Rusia atas tindakan mereka di Ukraine.
#sekatan kewangan #Joe Biden #Rusia #Ukraine
;