Ukraine putuskan hubungan diplomatik dengan Rusia
Agensi
Februari 24, 2022 19:37 MYT
Februari 24, 2022 19:37 MYT
KIEV: Ukraine akan mengakhiri semua hubungan diplomatik dengan Rusia selepas Presiden Vladimir Putin meluluskan operasi penuh tentera memasuki Ukraine dari darat, udara dan laut.
Media antarabangsa melaporkan, Presiden Ukraine Volodymyr Zelenskyy mengumumkan bahawa negaranya mengambil tindakan memutuskan hubungan diplomatik dengan Moscow sebagai tindak balas terhadap pencerobohan Rusia ke dalam sempadannya.
Perkembangan itu memberi tanda jelas 'sebuah hubungan yang terputus' sejak Rusia dan Ukraine masing-masing meraih kemerdekaan selepas keruntuhan Kesatuan Soviet pada 1991.
“Kami memutuskan hubungan diplomatik dengan Rusia. Ukraine kini bertahan dan tidak akan mengorbankan kebebasannya, walau apapun yang difikirkan Moscow.
"Rusia secara bermatian-matian dan tanpa bermoral menyerang negara kita pada pagi ini. Sama seperti Jerman lakukan pada Perang Dunia Kedua," ujar Zelenskyy dalam satu siaran rakaman video.
Ukraine dan Rusia selama ini mempertahankan 'hubungan' dalam satu naratif yang rumit, termasuk pernah melalui tempoh dua revolusi pro-Barat di Kiev pada 2004 dan 2014, yang dibantah keras Kremlin.
Keputusan yang dibuat Zelenskyy itu hadir beberapa jam selepas Putin melancarkan serangan yang merangkumi serangan udara dan darat, di sepanjang sempadan utara dan selatan Ukraine.