Ukraine mampu bertahan enam bulan tanpa sokongan AS

Bernama
Mac 4, 2025 22:51 MYT
Pentadbiran AS menggantung penghantaran bantuan ketenteraan kepada Ukraine pada awal hari ini, beberapa hari selepas berlaku perang mulut antara Zelenskiy dan Presiden AS di White House. - Reuters
KYIV: Ukraine mempunyai simpanan mencukupi untuk bertahan dalam konflik dengan Rusia selama kira-kira enam bulan tanpa sokongan Amerika Syarikat (AS), lapor portal dalam talian RBC-Ukraine pada Selasa, memetik seorang pegawai kanan parlimen, menurut Xinhua.
"Kompleks industri ketenteraan kami diperluaskan dengan ketara dalam tempoh tiga tahun lepas dan mampu mengimbangi ancaman serta risiko," kata Fedir Venislavsky, anggota jawatankuasa pertahanan parlimen.
Bagaimanapun, beliau mengakui bahawa Ukraine masih bergantung kepada AS bagi beberapa jenis senjata tertentu, termasuk sistem pertahanan udara dan sistem pelancar roket pelbagai jarak jauh.
Venislavsky berkata usaha sedang dilakukan untuk mendapatkan sumber alternatif bagi bekalan senjata yang amat diperlukan.
Menurut beberapa laporan media, pentadbiran AS menggantung penghantaran bantuan ketenteraan kepada Ukraine pada awal hari ini, beberapa hari selepas berlaku perang mulut antara Presiden Ukraine dan Presiden AS di White Househ.
Antara Februari 2022 dan Januari 2025, Washington menyalurkan bantuan ketenteraan berjumlah US$65.9 bilion kepada Ukraine, menurut Jabatan Negara AS.
-- BERNAMA
#Ukraine #sokongan #Amerika Syarikat #konflik #pertahanan
;