Ukraine kemuka usul sekatan terhadap Iran selama 50 tahun
Astro Awani
Mei 29, 2023 09:00 MYT
Mei 29, 2023 09:00 MYT
UKRAINE mengemukakan rancangan untuk mengenakan sekatan terhadap Iran untuk tempoh 50 tahun.
Ketua Turus Kakitangan, Andriy Yermak berkata, langkah itu diambil sebagai tindak balas kepada Tehran yang didakwa membekalkan senjata kepada Moscow.
Kiev dan sekutunya mendakwa bahawa Tehran membekalkan bekalan senjata kepada Rusia.
Ia termasuk ratusan dron yang digunakan oleh Moscow untuk menyerang Kiev sejak tahun lepas.
Dalam pada itu, Presiden Ukraine Volodymyr Zelenskyy berkata, sikap Tehran yang berdiam diri meyakinkan bahawa mereka berbohong jika mereka menyatakan tidak pernah menyalurkan bantuan senjata kepada Moscow selain mendakwa Tehran mengajar pihak Moscow cara mengendalikan dron.
Selain itu, jika usul ini diluluskan oleh Parlimen, antara lain, Ukraine akan melakukan sekatan terhadap import barangan Iran, teknologi, kewangan dan menghalang penggunaan ruang udaranya.
Dalam pada itu, Kiev mendakwa serangan dron oleh Moscow pada Ahad lalu telah menggunakan 54 dron buatan Iran dan 52 daripadanya berjaya ditembak jatuh.