Ukraine bawa kes pencerobohan Rusia ke ICJ
Rahimah Abdullah
Februari 27, 2022 00:21 MYT
Februari 27, 2022 00:21 MYT
UKRAINE telah memfailkan kes pendakwaan terhadap Rusia di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) di The Hague susulan tindakan pencerobohan ke atas negara itu.
Perkara itu disahkan Presidennya, Volodymyr Zelenskyy melalui satu hantaran di laman Twitternya pada Ahad.
Zelenskyy bertegas, Rusia perlu bertanggungjawab terhadap pencerobohan itu yang berselindung di sebalik kenyataan memanipulasi isu kononnya berlaku pembunuhan beramai-ramai semasa konflik sempadan dua negara itu sebelum ini.
Justeru, Ukraine mendesak agar satu keputusan dibuat segera dengan mengarahkan Rusia menghentikan serangan ketenteraan ke atas negara itu.
Dalam masa sama, Ukraine menggesa agar perbicaraan kes terhadap Rusia dimulakan minggu hadapan.
Serangan operasi ketenteraan Rusia ke atas Ukraine masuk hari keempat dan menyaksikan pertempuran sengit di antara tentera Rusia dan Ukraine serta orang awam dalam mempertahankan negara mereka.
Malah, beberapa letupan turut kedengaran di bandar itu pada awal pagi Ahad.