Ukraine akan saman Poland, Hungary dan Slovakia berkaitan larangan import bijirin

Bernama
September 19, 2023 20:25 MYT
Larangan unilateral oleh Poland, Hungary dan Slovakia ke atas bijirin Ukraine selepas keputusan Suruhanjaya Eropah untuk menarik balik sekatan telah menyebabkan "kebimbangan sistemik" yang besar. - Gambar fail/Astro AWANI
KYIV: Kyiv akan memfailkan saman di Pertubuhan Perdagangan Dunia terhadap Poland, Hungary dan Slovakia berhubung keputusan mereka melanjutkan larangan import bijirin dari Ukraine, Xinhua memetik laporan Agensi Berita Interfax-Ukraine pada Isnin.
"Adalah penting untuk membuktikan tindakan ini adalah salah di sisi undang-undang. Dan itulah sebabnya kami akan memulakan tindakan undang-undang," kata Taras Kachka, wakil perdagangan dan timbalan menteri ekonomi Ukraine.
Larangan unilateral oleh Poland, Hungary dan Slovakia ke atas bijirin Ukraine selepas keputusan Suruhanjaya Eropah untuk menarik balik sekatan telah menyebabkan "kebimbangan sistemik" yang besar, kata Kachka.
Suruhanjaya Eropah minggu lalu berkata ia telah memutuskan untuk tidak melanjutkan embargo ke atas produk pertanian Ukraine kepada lima negara anggota Kesatuan Eropah, yang berakhir pada 15 Sept.
Walaupun keputusan suruhanjaya itu, Poland, Hungary dan Slovakia enggan menggugurkan larangan itu, menurut laporan media.
-- BERNAMA
#saman #kebimbangan sistemik #menarik balik sekatan #Kesatuan Eropah
;