UK umum sekatan baharu terhadap Myanmar, sasar pembekal peralatan tentera

Bernama
Mac 28, 2023 21:18 MYT
Sekatan baharu itu menyasarkan individu dan syarikat yang membekalkan peralatan ketenteraan. - Gambar fail/ REUTERS
LONDON: United Kingdom pada Isnin mengumumkan sekatan baharu terhadap Myanmar, termasuk menyasarkan pembekal peralatan ketenteraan kepada junta.
"Sekatan baharu ini menyasarkan individu dan syarikat yang membekalkan bahan, termasuk peralatan ketenteraan yang masih digunakan untuk menyerang orang awam," lapor Agensi Anadolu memetik kenyataan Pejabat Luar London.
Ia menambah bahawa sekatan itu dikenakan sempena Hari Angkatan Tentera Myanmar.
"Mereka yang dikenakan sekatan termasuk sebuah syarikat dan pengarahnya yang membekalkan bahan api penerbangan untuk Angkatan Udara Myanmar dan pengarah syarikat yang membekalkan barangan dan teknologi melalui perniagaannya," menurut kenyataan itu.
Anne-Marie Trevelyan, menteri untuk Indo-Pasifik, berkata UK mengutuk "kempen kejam" tentera terhadap rakyat Myanmar.
"Sekatan yang diumumkan hari ini bertujuan untuk mengurangkan akses tentera kepada bahan api dan peralatan ketenteraan," katanya.
Pada 1 Feb 2021, tentera Myanmar menggulingkan kerajaan yang dipilih secara demokrasi yang dipimpin oleh Aung San Suu Kyi.
Pengumuman pada Isnin itu menandakan pusingan ke-15 sekatan UK terhadap rejim tentera di Myanmar, menurut Pejabat Luar London.
-- BERNAMA
#Aung San Suu Kyi #United Kingdom #Myanmar #sekatan baharu
;