UK umum gelombang baharu sekatan terhadap Rusia

Bernama
Mei 20, 2023 18:58 MYT
UK mengumumkan gelombang baharu sekatan yang menyasarkan perniagaan dan individu yang dikaitkan dengan Rusia untuk membiayai perang. - Gambar fail/Reuters
LONDON: Perdana Menteri Britain Rishi Sunak berkata pada Jumaat, sekatan terbaharu yang dikenakan terhadap Rusia adalah untuk memastikan Moscow menanggung akibatnya terhadap operasi ketenteraannya ke atas Ukraine.
"Kami percaya kepada demokrasi, kebebasan, kedaulatan undang-undang dan wajar kami mempertahankan perkara itu. Ia akan menjadi sekatan yang lebih berkesan...," kata Sunak, lapor Agensi Anadolu.
United Kingdom (UK) mengumumkan gelombang baharu sekatan yang menyasarkan perniagaan dan individu yang dikaitkan dengan Rusia untuk membiayai perang.
Sebanyak 86 individu dan organisasi didapati mempunyai kaitan dengan sektor tenaga, logam, pertahanan, pengangkutan dan kewangan Moscow.
Antara langkah yang diambil oleh UK ialah pengharaman import berlian Rusia, sektor yang menyumbang kira-kira US$4 bilion (GBP3.2 bilion) kepada hasil eksport negara itu pada 2021.
Selain itu, undang-undang akan diperkenalkan pada akhir tahun ini untuk menyekat import tembaga, aluminium dan nikel Rusia.
UK bersama-sama dengan rakan kongsi G7 telah menggubal satu set sekatan yang tidak pernah berlaku sebelum ini yang menyasarkan keupayaan ketenteraan Rusia.
Menurut kerajaan Britain, setakat ini, lebih 1,500 individu dan entiti telah dikenakan sekatan, melibatkan pembekuan aset melebihi GBP18 bilion di UK.
Selain itu, lebih GBP20 bilion barangan yang didagangkan antara UK dan Rusia turut dikenakan sekatan.
-- BERNAMA
#Britain #Rishi Sunak #sekatan #import tembaga
;