UK turut gantung semua penerbangan Boeing 737 MAX
Agensi
Mac 12, 2019 22:26 MYT
Mac 12, 2019 22:26 MYT
Selepas beberapa negara bertindak menggantung semua penerbangan menggunakan pesawat Boeing 737 MAX 8 di ruang udara mereka, United Kingdom turut mengambil langkah sama.
Pihak Berkuasa Penerbangan Awam United Kingdom pada Selasa telah melarang sebarang kelibat pesawat jenis itu keluar atau masuk negara itu, susulan nahas yang menimpa pesawat Ethiopian Airlines baru-baru ini.
Menurut satu kenyataan pada Selasa, keputusan tersebut dilakukan selepas mengadakan perbincangan teliti dan mengambil kira faktor keselamatan.
“Sebagai langkah berjaga-jaga, kami telah mengeluarkan arahan untuk menghentikan segera penerbangan komersial pesawat tersebut daripada mana-mana pengendali yang tiba, berlepas atau terbang di ruang udara UK," kata kenyataan tersebut.
Setakat ini Australia, China, Indonesia, Mongolia, Oman, Singapura, Korea Selatan, termasuk Malaysia melarang pesawat Boeing 737 MAX tersebut melalui ruang udara mereka.
Kenyataan itu susulan tragedi yang menimpa pesawat Ethiopian Airlines yang terhempas ketika dalam penerbangan dari Addis Ababa ke Nairobi pada Ahad dan mengorbankan kesemua 157 penumpang dan kru.
Nahas ini juga merupakan tragedi kedua melibatkan pesawat jenis Boeing 737 MAX dalam tempoh lima bulan selepas pesawat syarikat penerbangan tambang murah Lion Air terhempas Oktober lalu mengorbankan kesemua 189 penumpang dan anak kapalnya.
#Australia
#Boeng 737 MAX 8
#Ethiopian Airlines
#Malaysia
#penerbangan
#Pihak Berkuasa Penerbangan Awam United Kingdom
#UK gantung penerbangan Boeing 737 MAX
#United Kingdom