UK tingkat tahap ancaman keganasan kedua tertinggi
Astro Awani
November 3, 2020 06:30 MYT
November 3, 2020 06:30 MYT
LONDON: United Kingdom (UK) meningkatkan tahap ancaman keganasannya pada tahap kedua tertinggi susulan serangan di Austria dan Perancis.
Keputusan itu dibuat oleh pusat analisis keganasan bersama kerajaan UK yang ditubuhkan pada 2003.
Keputusan diumumkan Setiausaha Dalam Negeri UK, Priti Patel.
Ini susulan serangan didakwa dilancarkan militan Daish yang membunuh empat individu di Vienna.
"JTAC (Pusat Analisis Keganasan Bersama) telah mengubah tahap ancaman di seluruh United Kingdom dari tahap besar ke tahap yang teruk," kata Patel.
Beliau juga menyeru rakyat UK untuk tetap berwaspada namun tidak perlu bimbang.
“Ini adalah langkah pencegahan berikutan kejadian mengerikan yang kita lihat di Perancis minggu lalu dan peristiwa yang kita saksikan di Austria malam tadi.
"Tugas pertama dan terpenting dari kerajaan adalah jelas untuk melindungi orang awam Britain dan kami melakukan perkara itu dan akan terus melakukannya melalui langkah-langkah dan peralatan yang kami aturkan dalam hal menangani keganasan dan kegiatan pengganas.
“Pada tahap ini, walaupun jika orang ramai mempunyai kebimbangan, saya akan meminta mereka untuk melaporkan apa-apa kebimbangan yang mungkin mereka alami kepada polis.
"Tetapi seperti yang telah saya katakan, ini adalah langkah berjaga-jaga memandangkan peristiwa baru-baru ini yang telah kita lihat,” tegasnya.
Kata Patel, tahap ancaman keganasan itu ditingkatkan sebagai langkah berjaga-jaga terhadap dua insiden serangan maut di Austria dan Perancis.
#Britain
#Perancis
#militan
#daish
#pengganas
#serangan
#keganasan
#tahap ancaman keganasan
#tahap kedua tertinggi
#Priti Patel