UK tangkap 600 pendatang tanpa izin setakat Januari
Astro Awani
Februari 11, 2025 06:45 MYT
Februari 11, 2025 06:45 MYT
Sebanyak 609 tangkapan dilakukan semasa lawatan ke lebih 800 premis termasuk restoran, tempat cuci kereta dan kedai serbaneka. - Foto X/
Indian Tech & Infra
LONDON: Pasukan penguatkuasaan imigresen United Kingdom (UK) membuat lebih 600 tangkapan pada Januari, meningkat 73 peratus berbanding tempoh yang sama tahun sebelumnya.
Langkah itu merupakan sebahagian daripada rancangan kerajaan Parti Buruh untuk menangani pendatang tanpa dokumen dan kumpulan penyeludupan manusia.
Menurut kenyataan kerajaan, sebanyak 609 tangkapan dilakukan semasa lawatan ke lebih 800 premis termasuk restoran, tempat cuci kereta dan kedai serbaneka.
Ia adalah peningkatan berbanding 352 pada Januari 2024.
Setelah memegang jawatan tahun lalu, Perdana Menteri Keir Starmer segera membatalkan rancangan pendahulunya dari Parti Konservatif, Rishi Sunak, untuk menghalang pendatang tanpa izin ke UK dengan menghantar pulang pendatang baharu ke Rwanda.
Sebaliknya, beliau berjanji untuk menghancurkan kumpulan penyeludupan bagi mengurangkan jumlah tersebut.
Setiausaha Dalam Negeri, Yvette Cooper berkata, majikan sudah sekian lama mengeksploitasi pendatang tanpa izin dan terlalu ramai mereka yang masuk serta bekerja secara haram tanpa sebarang tindakan penguatkuasaan diambil.
Katanya, kerajaan sedang meningkatkan penguatkuasaan tertinggi bersama undang-undang tegas baharu untuk menangani kumpulan penjenayah yang menjejaskan keselamatan sempadan.
Kemasukan pendatang tanpa izin yang menyeberangi Selat Inggeris dengan bot kecil dari utara Perancis ke selatan England menjadi isu utama pada Pilihan Raya Umum Julai lalu, membawa Parti Buruh pimpinan Starmer ke tampuk kuasa.
Data Kementerian Dalam Negeri mendedahkan, seramai 36,816 dikesan menyeberangi Selat Inggeris pada 2024, meningkat 25 peratus daripada 29,437 orang yang tiba pada 2023.
Sebagai sebahagian daripada rancangannya untuk mengurangkan pendatang tanpa izin, Starmer menubuhkan pasukan keselamatan sempadan baharu dan mengukuhkan kerjasama dengan rakan Eropah, termasuk Europol.