UK tangguh longgar sekatan dua minggu lagi

Astro Awani
Julai 31, 2020 06:46 MYT
Boris Johnson menggunakan siku untuk menyantuni seorang pegawai polis ketika melawat Polis North Yorkshire di Northallerton, Britain, 30 Julai, 2020. REUTERS
PERDANA Menteri Britain Boris Johnson mengumumkan untuk menangguhkan langkah mengurangkan sekatan pergerakan di England selama dua minggu lagi.
Keputusan dibuat selepas negara itu mencatatkan peningkatan dalam kes COVID-19 buat pertama kali sejak Mei lalu.
Sekatan di England sepatutnya dilonggarkan bermula hujung minggu ini.
"Melihat kepada angka yang meningkat naik, kami berpendapat, kita kena tekan brek, bagi mengawal penularan virus.
"Pada Sabtu 1 Ogos, kita berharap untuk membuka semula beberapa tempat berisiko tinggi yang ditutup sebelum ini.
"Malangnya, hari ini, saya terpaksa tangguhkan semula perubahan yang dirancang untuk sekurang-kurangnya tempoh dua minggu lagi.
"Ini bermakna, sehingga sekurang-kurangnya 15 Ogos, kasino, pusat boling, pusat luncur air akan kekal ditutup," katanya pada Jumaat.
Pada masa sama, acara persembahan tertutup juga tidak akan dibenarkan, begitu juga perkumpulan di venue sukan dan pusat persidangan, serta upacara perkahwinan yang dihadiri sehingga 30 orang.
Bagaimanapun, majlis keramaian boleh diteruskan dengan berpandukan prosedur operasi standard (SOP) ketat yang ditetapkan.
Johnson juga memaklumkan, walaupun negara berkenaan mencatatkan perkembangan positif menangani COVID-19, ia harus kekal waspada ketika banyak negara Eropah masih bergelut dalam mengawal penularan virus berkenaan.
Sementara itu, Ketua Perubatan England Prof Chris Whitty memberi bayangan negara itu mungkin tidak akan melonggarkan sekatan lagi tanpa mengambil risiko wujudnya satu gelombang baharu.
"Kita kena bersikap realistik. Idea mengenai pembukaan semula semua aktiviti sambil dalam masa sama mengawal penularan virus, adalah sesuatu yang salah.
"Kalau kita hendak buka semula sekatan, kita mesti mampu mengawalnya," katanya pada satu sidang media.
Britain melaksanakan penutupan (lockdown) di seluruh negara pada Mac - menghentikan sekolah, aktiviti perniagaan dan perjalanan, kecuali yang penting - dan mula melonggarkannya secara berperingkat sejak Jun.
#berisiko tinggi #Boris Johnson #Britain #COVID-19 #England #jangkitan #kelonggaran #kes positif #lockdown #operasi #pembukaan semula ekonomi #peningkatan #perkahwinan #sekatan #SOP #sukan #tutup #United Kingdom
;