UK sumbang bantuan GBP5 juta untuk UNICEF Lubnan di tengah serangan dan tembakan roket

Bernama
September 26, 2024 17:55 MYT
Bantuan itu akan disalurkan kepada bekalan perubatan, kit kebersihan, bahan api untuk stesen air dan pasukan kecemasan. - Gambar fail
NEW YORK: Menteri Pembangunan UK Anneliese Dodds melancarkan pakej bantuan bernilai GBP5 juta (AS$6.6 juta) untuk UNICEF di Lubnan, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Pengumuman yang dibuat lewat Rabu itu menyusuli serangan udara maut dan tembakan roket yang telah dilancarkan oleh Israel dan Hizbullah sejak awal minggu ini.
Pejabat Luar Negeri, Komanwel dan Pembangunan UK telah mengesahkan bantuan itu akan disalurkan kepada bekalan perubatan, kit kebersihan, bahan api untuk stesen air dan pasukan kecemasan yang bekerja dalam bidang kesihatan dan pemakanan.
Jabatan kerajaan itu juga mengesahkan bahawa pesawat dan helikopter Tentera Udara Diraja sedang bersiap siaga, dengan kehadiran UK di RAF Akrotiri berhampiran Limassol di Cyprus dan di Laut Mediterranean timur dengan dua kapal - RFA Mounts Bay dan HMS Duncan.
Pegawai Pasukan Sempadan dan Pejabat Luar Negeri dan 700 tentera, telah dikerahkan ke Cyprus pada Selasa.
"Keadaan di Lubnan sangat membimbangkan," kata Dodds.
Menteri itu berkata jabatannya telah membuka semula portal "daftar kehadiran anda", yang boleh diisi oleh warga Britain di Lubnan untuk memberitahu kerajaan UK tentang keberadaan mereka.
Beliau menambah: "Walaupun kami terus menggesa warga Britain untuk pergi dan telah melancarkan portal 'daftar kehadiran anda' untuk membantu pemergian mereka, UK akan sentiasa menjadi penyokong kuat rakyat Lubnan.
"Itulah sebabnya kami menyediakan GBP5 juta kepada UNICEF untuk menyokong orang awam yang telah kehilangan tempat tinggal dan menghadapi kecemasan kemanusiaan.
"Kita perlu melihat gencatan senjata segera daripada kedua-dua pihak untuk mengelakkan korban awam selanjutnya dan memastikan orang yang kehilangan tempat tinggal boleh pulang ke rumah mereka."
Serangan Israel pada Rabu membunuh 51 orang dan mencederakan lebih 220 yang lain, menurut menteri kesihatan Lubnan.
Jumlah itu merupakan tambahan kepada 564 yang terbunuh dan lebih daripada 1,800 cedera dalam tempoh dua hari sebelumnya, termasuk kira-kira 150 wanita dan kanak-kanak, dan seperti yang didedahkan oleh Pejabat PBB untuk Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan, sejumlah 200,000 orang telah kehilangan tempat tinggal di Lubnan sejak Hizbullah mula menembak roket ke utara Israel hampir setahun lepas.
Kerajaan UK menganggarkan kira-kira 4,000 hingga 6,000 warga Britain masih berada di Lubnan.
-- BERNAMA
#UNICEF #bantuan #lubnan #UK #Anneliese Dodds #serangan udara
;