UK: Sistem pengimbas identiti Eurostar untuk elak kesesakan
Bernama
Julai 18, 2023 22:48 MYT
Julai 18, 2023 22:48 MYT
LONDON: Penumpang Eurostar yang berlepas dari London boleh mengelak daripada pemeriksaan manual tiket dan pasport oleh pegawai UK melalui sistem pengesahan identiti, lapor Agensi Berita (dpa) Jerman.
Pelancaran teknologi di stesen St Pancras di London bertujuan untuk mengurangkan kesesakan.
Bagi menggunakan sistem berkenaan, penumpang mesti menggunakan aplikasi sebelum melakukan perjalanan dengan mengimbas dokumen pengenalan diri dan mengesahkan wajah dan tiket mereka.
Di stesen, penumpang boleh meneruskan perjalanan tanpa sebarang pemeriksaan melalui pintu automatik selepas diimbas oleh skrin.
Sistem SmartCheck, yang dibangunkan oleh iProov, tersedia untuk penumpang Business Premier dan Carte Blanche. Beg masih diimbas oleh kakitangan keselamatan dan pegawai sempadan Perancis.
Ketua Eksekutif Eurostar Gwendoline Cazenave berkata: "Menyediakan pengalaman pemeriksaan pasport dan tiket di stesen dengan lancar kepada pelanggan kami adalah keutamaan bagi Eurostar.
"Kami terus mencari penyelesaian untuk meningkatkan kapasiti di stesen dan memudahkan aliran penumpang. SmartCheck di stesen Antarabangsa St Pancras ialah penyelesaian untuk pengalaman daftar masuk yang lebih pantas dan lancar.
"Dengan memperkenalkan SmartCheck, kami menjadi pengendali perjalanan kereta api pertama yang mengguna pakai pengesahan muka biometrik. Inovasi ini akan meningkatkan perjalanan pelanggan kami, demi menyediakan pengalaman perjalanan unik Eurostar."
Andrew Bud, ketua eksekutif iProov, berkata: "Pelancaran daftar masuk SmartCheck dalam Business Premier Eurostar di London St Pancras adalah penting kerana ia jelas menunjukkan bagaimana teknologi biometrik muka boleh digunakan untuk mengurus kawalan sempadan dengan cara yang lebih bijak dan cekap.
"Dengan mencipta koridor biometrik, kami mengalihkan pemeriksaan keselamatan dari stesen, menjimatkan masa dan ruang yang berharga di sempadan, memperkemas proses kepada yang jauh lebih pantas, lebih mudah, kurang sesak dan tertekan, malah lebih selamat."
-- BERNAMA