AS, UK serang lebih 30 sasaran Houthi di Yaman

Agensi
Februari 3, 2024 07:00 MYT
Amerika Syarikat dan United Kingdom telah melakukan serangan ke atas sasaran Houthi di Yaman dari platform udara dan permukaan - termasuk F/A-18 - ke atas lebih 30 sasaran di 13 lokasi.
AMERIKA Syarikat (AS) dan United Kingdom (UK) telah melakukan serangan ke atas sasaran Houthi di Yaman dari platform udara dan permukaan - termasuk F/A-18 - ke atas lebih 30 sasaran di 13 lokasi, menurut pegawai.
AS dan UK melakukan serangan itu dengan sokongan beberapa negara lain, menurut satu kenyataan bersama yang dikeluarkan pada Sabtu.
“Serangan hari ini secara khusus menyasarkan tapak yang dikaitkan dengan kemudahan penyimpanan senjata, sistem peluru berpandu dan pelancar, sistem pertahanan udara dan radar yang terkubur dalam Houthi,” kata kenyataan yang dikeluarkan oleh AS, UK, Australia, Bahrain, Kanada, Denmark, Belanda dan New Zealand.
Dalam reaksi segera, Houthi berkata, pesawat pejuang AS dan UK menyerang beberapa wilayah di Yaman, termasuk ibu kota Sanaa.
Serangan berkenaan dilancarkan selepas pentadbiran Presiden AS, Joe Biden berikrar akan bertindak balas dalam "pelbagai peringkat" terhadap serangan dron yang mengorbankan tiga anggota perkhidmatan AS dan mencederakan lebih 40 orang pada hujung minggu lalu.
Berusaha untuk mengelakkan perang serantau dengan Tehran, AS tidak menyasarkan Iran secara langsung, sebaliknya, tertumpu kepada mebeberapa proksi AS yang paling berkuasa di rantau ini.
Tindakan itu secara tidak langsung cuba menghantar mesej kepada kepimpinan Iran, yang semakin gementar mengenai tindakan beberapa pertubuhan pasukan pejuang yang disokongnya, lapor CNN.
AS mendakwa, Iran membiayai, mempersenjatai dan membekalkan kumpulan pejuang berkenaan, tetapi kepimpinannya tidak mengawal mereka secara langsung.
Serangan AS di Yaman adalah berbeza daripada serangan di Iraq dan Syria: Serangan yang pertama adalah tindak balas terhadap serangan Houthi yang berterusan di lorong perkapalan antarabangsa dan kapal perang AS di Laut Merah, manakala yang terakhir adalah tindakan balas terhadap serangan maut ke atas tentera AS.
Bagaimanapun, kedua-duanya menyasarkan kumpulan yang disokong Iran di Asia Barat. - Agensi
#Amerika serang Houthi #pesawat pejuang AS #United Kingdom #Yaman
;