UK, sekutu tingkatkan persiapan berdepan 'senario terburuk' di Ukraine

Bernama
Februari 21, 2022 23:32 MYT
Truss mengulangi semula amaran bahawa kuasa Barat akan mengenakan sekatan ekonomi yang ketat terhadap Moscow sekiranya Rusia menyerang negara jirannya. - Gambar/ Reuters
LONDON: Menteri Luar United Kingdom (UK) Liz Truss pada Isnin berkata negaranya dan sekutu Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) kini giat membuat persiapan berdepan senario terburuk berdasarkan dakwaannya mengenai "kemungkinan besar" pencerobohan Rusia ke atas Ukraine, lapor Sputnik.
"Diplomasi mesti diteruskan tetapi mungkin terdapat potensi besar serangan Rusia ke atas Ukraine.
"UK dan sekutunya kini membuat persiapan untuk berdepan senario terburuk," kata Truss menerusi akaun Twitternya selepas mengadakan pertemuan dengan Setiausaha Agung NATO Jens Stoltenberg di Brussels.
Bagaimanapun, beliau tidak memberikan butiran lanjut mengenai persiapan itu.
Beliau turut mengulangi semula amaran bahawa kuasa Barat akan mengenakan sekatan ekonomi yang ketat terhadap Moscow sekiranya Rusia menyerang negara jirannya.
Moscow berulang kali menafikan dakwaan Barat mengenai Rusia bersiap sedia "menyerang" Ukraine dan menegaskan pihaknya tidak berhasrat mengancam sesiapa.
Rusia, sebaliknya bimbang terhadap aktiviti ketenteraan NATO berhampiran sempadan negaranya, yang dianggap mengancam keselamatan Moscow.
-- BERNAMA
#Ukraine #Rusia #UK #senario terburuk
;