UK sedia kukuh kerjasama dengan ASEAN pacu revolusi hijau, pelaburan

Bernama
Oktober 25, 2021 06:24 MYT
Johnson juga menyuarakan keyakinannya bahawa dagangan dua hala ASEAN dan UK akan meningkat dalam era pasca pandemik. (Foto AP)
KUALA LUMPUR: United Kingdom (UK) bersedia untuk mengukuhkan lagi kerjasama dengan ASEAN bagi meningkatkan revolusi hijau untuk masa depan.
Perdana Menteri Boris Johnson berkata UK ketika ini menerajui dunia dalam revolusi ini.
"Dengan 'Pelan 10 Perkara' kami yang bukan sahaja bertujuan untuk membangun kembali dengan lebih baik tetapi lebih hijau dan lebih lestari. Anda tidak akan jumpa rakan kongsi lebih baik untuk bekerjasama dalam era baharu yang menarik ini," katanya pada Sidang Kemuncak Pelaburan Perniagaan ASEAN 2021 yang diadakan secara maya pada Isnin.
Johnson berkata Persidangan Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu 2021 (COP26) di Glasgow minggu depan menjadi peluang terbaik untuk memacu dunia ke arah karbon sifar.
"Dan jika kita dapat gunakan peluang itu untuk bertindak secara substantif, saya yakin kita bukan sahaja mampu mengekalkan kenaikan suhu di bawah 1.5 darjah, tetapi kita juga dapat membawa revolusi industri hijau di seluruh dunia, ekonomi berkembang di samping mengurangkan pelepasan karbon," katanya.
Beliau berkata, hakikatnya memang tiada pilihan antara mahukan teknologi hijau dan mewujudkan peluang perkerjaan kerana ia adalah dua muka pada duit syiling yang sama.
Johnson juga menyuarakan keyakinannya bahawa dagangan dua hala ASEAN dan UK akan meningkat dalam era pasca pandemik.
Katanya, sebelum pandemik UK sudah menjalankan perniagaan bernilai kira-kira GBP40 bilion di rantau ini setiap tahun.
"Kini, memandangkan kita semua berusaha untuk membina semula ke arah lebih baik akibat pandemik. Saya mahu lihat angka itu kian meningkat dan saya yakin ia boleh jadi kenyataan kerana Global Britain sekali lagi terbuka untuk dunia," katanya.
Beliau berkata walaupun terdapat perbezaan antara UK dan Asia Tenggara tetapi kedua-dua pihak mempunyai hubungan erat dalam perniagaan, pendidikan, budaya, sejarah dan banyak lagi.
"Mari kita jadikan keunikan hubungan yang ada ini ke arah revolusi hijau dan pelaburan masa depan bukan hanya di ASEAN dan UK tetapi untuk generasi akan datang di seluruh dunia," katanya.
UK menjadi rakan dialog terbaharu ASEAN pada Ogos tahun ini.
-- BERNAMA
#United Kingdom #ASEAN #revolusi hijau #Boris Johnson
;