UK rancang pinda perjanjian pasca-Brexit

Astro Awani
Jun 14, 2022 09:40 MYT
UK mengemukakan rancangan untuk meminda sebahagian perjanjian pasca Brexit yang dipersetujui dengan EU pada 2019. -Gambar fail
LONDON: United Kingdom (UK) mengemukakan rancangan untuk meminda sebahagian perjanjian pasca Brexit yang dipersetujui dengan Kesatuan Eropah (EU) pada 2019.
Negara itu dilaporkan mahu meminda protokol untuk memudahkan kemasukan barangan dari seluruh UK ke Ireland Utara, lapor media tempatan.
Hasrat ini bagaimanapun dibantah EU kerana dianggap mencabuli undang-undang antarabangsa.
UK mempertahankan tindakan itu atas alasan ia satu-satunya kaedah untuk melindungi kepentingannya.
UK mendakwa terma keperluan digunakan dalam undang-undang antarabangsa bagi memperincikan situasi melibatkan kepentingan sesebuah negara sebagai kewajipan dalam peraturan lain.
Sehubungan itu, UK mempertahankan tindakan diambil tidak boleh menjejaskan kepentingan negara lain.
Pindaan melibatkan rang undang-undang protokol Ireland Utara itu akan didebat dan diundi di Parlimen.
Pindaan akan memansuhkan pemeriksaan kastam ke atas beberapa barangan yang memasuki Ireland Utara dari seluruh UK.
Rang undang-undang itu juga menjamin sebarang pertikaian diselesaikan di mahkamah timbang tara dan bukan Mahkamah Keadilan Eropah.
"Adalah jelas kami bertindak berdasarkan lunas undang-undang. Kami akan mengeluarkan kenyataan perundangan kami.
"Apa yang penting adalah kami mahu menyelesaikan isu di Ireland Utara yang menyebabkan masalah sebenar.
"Kami tidak nampak badan eksekutifnya berfungsi sejak Februari. Kami perlu mewujudkan semula perkongsian kuasa.
"Sudah tentu kami terbuka untuk berunding dengan EU dan kami mahu ia menjadi perjanjian yang berjaya, tetapi EU menolak protokol itu yang menyebabkan masalah perdagangan, cukai di Ireland Utara."
Pindaan ini jika dipersetujui akan membatalkan perjanjian perdagangan yang dimeterai di antara perdana menteri Boris Johnson dengan EU dua tahun lalu.
EU dalam pada itu memaklumkan akan membantah cadangan ini yang berkemungkinan menyebabkan berlakunya perang perdagangan di antara dua pihak.
#pinda perjanjian #pasca-Brexit #United Kingdom #Liz Truss
;