UK perlu adakan pilihan raya awal - Sturgeon
Astro Awani
Oktober 20, 2022 06:30 MYT
Oktober 20, 2022 06:30 MYT
EDINBURGH: Menteri Pertama Scotland, Nicola Sturgeon mendesak satu pilihan raya awal diadakan susulan peletakan jawatan Liz Truss sebagai Perdana Menteri.
Kata Sturgeon, dalam sistem demokrasi, rakyat perlu diberi mandat untuk memilih pemimpin, selepas pergolakan politik dan ekonomi yang sudah berlanjutan selama beberapa minggu.
"Apa yang perlu dilakukan ketika ini? Di peringkat ini, Pilihan Raya Umum perlu diadakan. Ia adalah satu keperluan di bawah amalan demokrasi.
Idea bahawa parti Tori boleh bersatu di bawah Perdana Menteri, siapa jua orangnya bagi kepentingan umum, adalah pendapat yang tidak relevan. Namun asasnya, UK ketika ini memerlukan suara demokratik untuk Perdana Menteri seterusnya. Ini ditambah lagi dengan beberapa cadangan bahawa Boris Johnson mahu kembali sebagai Perdana Menteri," katanya.
Pilihan Raya Umum bagi negara itu paling awal dijadualkan pada Januari 2025.
Namun Perdana Menteri boleh memutuskan untuk mengadakannya lebih awal.
Sturgeon juga menggunakan kesempatan ini untuk mengulangi desakan mengadakan pungutan suara bagi kemerdekaan Scotland.