UK mungkin tempatkan kapal perang secara tetap di Indo-Pasifik - Laporan

Bernama
April 17, 2023 06:00 MYT
Kerajaan United Kingdom (UK) sedang membincangkan kemungkinan menempatkan kapal perang di wilayah Indo-Pasifik secara tetap. - Gambar Facebook ROYAL NAVY
MOSCOW: Kerajaan United Kingdom (UK) sedang membincangkan kemungkinan menempatkan kapal perang di wilayah Indo-Pasifik secara tetap, lapor Sputnik.
"Masa depan adalah di Asia. Kami perlu mempunyai kehadiran di Pasifik untuk menghalang China melakukan sesuatu yang tidak masuk akal seperti menceroboh Taiwan," lapor akhbar The Times pada Isnin memetik sumber.
UK merancang menugaskan sekurang-kurangnya satu frigat Type-31, yang akan menjadi penentu penting selepas lima dekad kuasa tentera UK merosot di timur Suez, menurut akhbar itu.
Terdahulu, Jepun menyambut baik penglibatan NATO yang semakin meningkat dalam hal ehwal Indo-Pasifik, walaupun pemimpin dan perdana menteri Jepun tidak mengambil bahagian pada sidang kemuncak NATO dan mesyuarat menteri sehingga tahun lepas.
Pada April 2023, menteri luar Jepun menghadiri mesyuarat menteri NATO dan negara itu menubuhkan misi diplomatik tetapnya ke blok itu.
--BERNAMA-SPUTNIK
#United Kingdom #Indo-Pasifik #kapal perang #NATO
;