UK mungkin minta rakyatnya beri perlindungan kepada rakyat Afghanistan di kediaman mereka - Menteri
Bernama
Julai 12, 2023 06:15 MYT
Julai 12, 2023 06:15 MYT
MOSCOW: Kerajaan United Kingdom sedang mempertimbangkan untuk memberi perlindungan kepada pelarian Afghanistan menerusi skim "Homes for Afghans", inisiatif yang serupa dengan satu lagi program dibiayai kerajaan dipanggil "Homes for Ukraine", menurut Menteri Imigresen Robert Jenrick pada Selasa, lapor Sputnik.
Pada Mac 2022, kerajaan UK melancarkan skim "Homes for Ukraine", yang membenarkan pihak berkuasa tempatan, individu atau badan amal menyediakan kediaman sementara dan percuma kepada pelarian dari Ukraine dan "menerima bayaran bulanan GBP350 (AS$450) semasa tempoh 12 bulan pertama, meningkat kepada GBP500 sebulan dalam tempoh 12 bulan berikutnya."
"Skim 'Homes for Ukraine' adalah suatu yang hebat, yang patut kita semua banggakan. Saya sendiri mengambil bahagian pada satu ketika. Untuk mewujudkan skim yang setanding bagi rakyat Afghanistan, itu adalah sesuatu yang harus kita pertimbangkan dan saya yakin bahawa Michael Gove, yang bertanggungjawab dalam hal ini sedang mempertimbangkannya," kata Jenrick dipetik akhbar The Guardian.
Kerajaan sedang mempertimbangkan langkah itu kerana sekurang-kurangnya 8,000 warga Afghanistan yang tiba di UK pada 2021 akan diusir dari hotel pada Ogos apabila program perumahan kerajaan berakhir.
-- BERNAMA