UK Memilih: Tiada poster atau kempen jalanan
Bernama
Disember 12, 2019 05:34 MYT
Disember 12, 2019 05:34 MYT
Rakyat United Kingdom (UK) pada Khamis akan mengundi dalam satu detik cukup bersejarah negara itu yang akan menentukan hala tuju masa depannya di rantau ini dan juga di mata dunia.
Ini merupakan pilihan raya umum kedua UK sejak 2017, dan yang ketiga dalam tempoh lima tahun.
Pilihan raya UK 2019 diawalkan daripada Mei 2022, pastinya disebabkan oleh Brexit serta kesannya, dan warganya sedang meneliti manifesto serta isu-isu yang kritikal.
Bagaimanapun tidak seperti Malaysia, keadaan di sekitar bandar raya kekal aman damai sentosa dan tiada poster atau kempen jalanan.
Ia sama seperti hari-hari lain, walaupun dengan lebih 46 juta warga yang berumur lebih 18 tahun layak mengundi, akan menentukan sama ada Perdana Menteri berikutnya adalah Boris Johnson dari parti konservatif, yang bertekad untuk melaksanakan Brexit, atau Jeremy Corbyn dari parti buruh.
Berdasarkan kepada pemerhatian di sekitar pusat mengundi sekitar bandar raya Salford, yang mula menerima kehadiran pengundi seawal pukul 7 pagi, dan akan berakhir pukul 10 malam, tidak ada kumpulan pengundi yang beratur panjang, atau kehadiran polis atau ambulans bersiap sedia untuk sebarang kemungkinan.
Kebanyakan aktiviti berkaitan pilihan raya berlangsung di alam siber dan di radio dan televisyen.
Menurut Ahmad Sharizal Khalid, 45, rakyat Malaysia yang tinggal di Manchester selama hampir 15 tahun, keadaan itu sudah menjadi lumrah di UK dan tanda-tanda kempen parti politik tidak kelihatan semasa awal kempen pilihan raya.
"Keadaan ini berbeza dengan Malaysia di mana anda dapat lihat orang ramai menunjukkan sokongan dan cenderung ke arah parti politik mereka," katanya semasa dihubungi pada Khamis.
Katanya beliau berharap pilihan raya umum UK akan membawa pembaharuan, terutama dalam menerima kehadiran lebih ramai orang ke negara itu.
Terdapat 650 kawasan pilihan raya di seluruh England, Scotland, Wales dan Ireland Utara dan pengundian akan berlangsung di 40,000 stesen pilihan raya, di mana keputusan dijangka akan diumumkan awal pagi Jumaat.
-- BERNAMA
#Boris Johnson
#Brexit
#England
#isu kritikal
#Jeremy Corbyn
#kempen
#Manifesto
#Parti Buruh
#Parti Konservatif
#pembaharuan
#pengundian
#Perdana Menteri
#pilihan raya umum
#poster
#pusat mengundi
#rakyat Malaysia
#UK Memilih
#United Kingdom