UK Memilih: Parlimen tergantung, May tekad terus kekal PM

Agensi
Jun 9, 2017 15:08 MYT
Ternyata perhitungan Theresa May pada pilihan raya umumm kali ini tidak menjadi. - REUTERS/Toby Melville
Perdana Menteri Theresa May berhadapan detik getir mempertahankan jawatannya selepas pengundi membuat keputusan memberikan isyarat paling jelas yang tiada mandat besar buatnya dalam Pilihan Raya United Kingdom yang baru sahaja tamat.
Tanpa ada pemenang yang jelas, May memberikan petanda akan terus berjuang mempertahan jawatannya, namun pantas disanggah pemimpin Parti Buruh, Jeremy Corbyn yang menggesa beliau meletak jawatan.
Dengan 643 dari 650 kerusi dikira, Parti Konservatif memenangi 313 kerusi manakala Parti Buruh memperolehi 260 kerusi.
Parti Konservatif memerlukan sekurang-kurangnya 326 kerusi untuk terus memegang kuasa majoriti di House Of Common.
Selain Parlimen yang tergantung, perbincangan mengenai langkah Britain keluar dari Kesatuan Eropah (EU) Brexit bakal berlangsung dalam tempoh sepuluh hari lagi tanpa diketahui siapakah yang akan membentuk kerajaan dan berunding.
May tujuh minggu lalu mengumumkan pilihan raya umum awal, meskipun pilihan raya hanya harus dilaksanakan selewat-lewatnya pada 2020.
Ramai yang menjangkakan tindakan itu akan membantunya untuk meningkatkan sokongan terhadap kerajaan yang ditinggalkan oleh David Cameron.
Ternyata perhitungan May tidak menjadi apabila Parti Konservatif kehilangan lebih banyak kerusi.
#Brexit #Britain #David Cameron #EU #Jeremy Corbyn #Parlimen #Perdana Menteri #Theresa May #United Kingdom
;