UK Memilih: May atau Corbyn?
Astro Awani
Jun 8, 2017 00:58 MYT
Jun 8, 2017 00:58 MYT
Penduduk United Kingdom memilih dalam pilihan raya pertama sejak pengunduran bekas perdana menteri David Cameron pada 13 Julai 2016.
Pilihan raya kali ini adalah kayu ukur kemampuan penggantinya Theresa May untuk mendapat mandat besar rakyat.
Pengundi bakal menentukan 650 anggota Parlimen yang bakal mengisi kerusi Dewan Rakyat.
Pada hari terakhir kempen menjelang pilihan raya umum, Theresa May dan pemimpin Parti Buruh Jeremy Corbyn berhabis-habisan membentang manifesto akhir, termasuk pelan untuk Brexit, membina komuniti lebih seimbang dan mengekang keganasan.
Pilihan raya kali ini dijangka berlangsung dalam kawalan keselamatan ketat, susulan serangan di Manchester dan London.
Ia juga menyaksikan kempen penutup didominasi isu pengganas.
Parti konservatif pimpinan May memerlukan lebih 50 kerusi untuk mandat lebih kukuh, bagi rundingan Brexit 19 Jun depan di Brussels.
May sebelum ini mengemukakan pelan berhubungan rundingan Brexit yang akan menyaksikan Britain meninggalkan pasaran tunggal Eropah, dan bakal menjejaskan hubungannya dengan Kesatuan Eropah (EU).
#Brexit
#Britain
#David Cameron
#Dewan Rakyat
#EU
#Jeremy Corbyn
#Kesatuan Eropah
#London
#Manifesto
#Parlimen
#pilihan raya
#Theresa May