UK kekal sebagai rakan kongsi utama Ukraine, dengan atau tanpa EU - Timbalan Menteri Luar

Bernama
Oktober 31, 2019 06:06 MYT
Kyslytsya menekankan bahawa hubungan antara Ukraine dan UK akan terus berkembang dan kukuh. --fotoBERNAMA
Timbalan Menteri Luar Ukraine Sergiy Kyslytsya berkata United Kingdom (UK) akan kekal sebagai rakan kongsi strategiknya yang utama, dengan atau tanpa Kesatuan Eropah (EU).
Kyslytsya, yang mengakhiri lawatan kerja dua harinya ke Malaysia pada Rabu, berkata meskipun UK sebagai negara anggota EU adalah hebat, mungkin terdapat unsur-unsur yang positif untuk Kyiv jika London membuat keputusan untuk meneruskan Brexit (langkah keluar dari EU).
"Terdapat bidang kerjasama khusus yang, secara ironinya, jika rakyat UK memutuskan untuk keluar (dari EU), akan menjadi lebih kukuh... seperti keselamatan antarabangsa.
"Disebabkan kerjasama kami dengan UK dalam bidang pertahanan dan teknologi tinggi, kesediaan mereka untuk membantu kami, contohnya dalam majlis keselamatan atau organisasi multilateral tanpa sebarang prejudis kepada negara anggota EU yang lain, kadangkala adalah lebih jelas dan lebih tegas.
"Tetapi memandangkan EU cenderung untuk mengambil pendirian yang sama dan bercakap secara keseluruhan, sudah tentu sebagai negara anggota EU, UK perlu menyesuaikan diri," katanya kepada Bernama dalam satu temu bual eksklusif di ibu pejabat agensi berita itu pada Rabu.
Dalam lawatan selama sejam ke Bernama, Kyslytsya bertemu Pengerusi agensi berita itu Datuk Seri Azman Ujang, Ketua Pengarang Datuk Mokhtar Hussain, Timbalan Ketua Pengarang (Berita) Abdul Rahman Ahmad dan Timbalan Ketua Pengarang (Perniagaan dan Kewangan) Khairdzir Yunos.
Parlimen UK pada Rabu telah meluluskan satu rang undang-undang untuk mengadakan satu pilihan raya umum pada 12 Dis yang dikatakan bakal menentukan nasib Brexit selepas Perdana Menteri Boris Johnson terpaksa meminta pelanjutan masa bagi tarikh akhir Brexit susulan kegagalan beliau untuk mendapatkan perjanjian itu melalui parlimen.
Tarikh akhir baharu ditetapkan pada 31 Jan 2020.
Kyslytsya menekankan bahawa hubungan antara Ukraine dan UK akan terus berkembang dan kukuh.
"Malah kami telahpun memulakan rundingan. Kami akan mereka bentuk satu kerangka baharu perundangan bagi perdagangan, begitu juga dengan perjalanan (apabila Brexit menjadi realiti). Isu Brexit itu adalah terpulang kepada rakyat UK untuk menentukannya," katanya.
Sementara itu, Kyslytsya berkata di bawah kepimpinan Presiden Volodymyr Zelensky yang dipilih pada bulan April tahun ini, dasar luar negara tersebut kekal tidak berubah kerana memperoleh keanggotaan dalam EU dan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) terus menjadi asas yang penting bagi Ukraine.
Mengulas pertemuan beliau dengan rakan sejawatnya dari Malaysia Datuk Marzuki Yahya pada Selasa, Kyslytsya berkata terdapat satu senarai panjang agenda tetapi setiap item adalah berdasarkan perkara yang khusus dan boleh membantu dalam kerjasama kedua-dua negara.
Agenda itu termasuk hubungan dua hala, politik, ekonomi, budaya, visa, kerjasama teknikal dan pertukaran akademik, katanya.
-- BERNAMA
#Boris Johnson #Brexit #dasar luar #ekonomi #kerjasama #Kesatuan Eropah #keselamatan #London #Marzuki Yahya #Parlimen UK #pilihan raya umum #rakan kongsi strategik #Rang Undang-Undang #Sergiy Kyslytsya #Ukraine #undang-undang #United Kingdom #Volodymyr Zelensky
;