UK kaji penglibatan Huawei, mahu pastikan keselamatan negara tidak terjejas
Astro Awani
Julai 6, 2020 07:01 MYT
Julai 6, 2020 07:01 MYT
UNITED Kingdom (UK) akan mengkaji dengan teliti penglibatan syarikat gergasi dari China, Huawei, dalam menyediakan infrastruktur telekomunikasi di negara itu.
Perdana Menteri, Boris Johnson berkata, pihaknya akan mencari jalan penyelesaian terbaik dalam isu tersebut.
Jelasnya, ia bagi memastikan masyarakatnya menerima kemudahan jalur lebar dan dalam masa sama ia tidak menjejaskan keselamatan negara itu.
"Saya sangat-sangat bertekad untuk mendapatkan jalur lebar ke setiap bahagian negara ini menjangkau seluruh UK dan kami yakin bahawa kita dapat melakukannya.
“Kita harus memikirkan dengan teliti bagaimana kita boleh mengatasinya. Kita harus mencari penyelesaian teknologi yang tepat.
“Tetapi kita juga harus memastikan bahawa kita terus memberikan jalur lebar yang diperlukan untuk warga UK," katanya di London pada Isnin.
Pada Januari lalu, kerajaan UK memutuskan untuk mengehadkan peranan Huawei dalam membekalkan peralatan rangkaian berkelajuan tinggi baharu kepada syarikat telekomunikasi negara itu.
Ia sekali gus mengabaikan amaran Amerika Syarikat yang mengugut akan memutuskan perkongsian risikan sekiranya Huawei tidak diharamkan.
Pegawai UK sejak itu menilai semula peranan Huawei berikutan sekatan Amerika ke atas syarikat China itu pada Mei.
#Amerika Syarikat
#Boris Johnson
#China
#Huawei
#jalur lebar
#kerajaan
#keselamatan
#menteri
#Perdana Menteri
#perkongsian
#risikan
#sekatan
#syarikat telekomunikasi
#teknologi
#telco
#United Kingdom