UK haramkan kumpulan Wagner, label organisasi pengganas
Astro Awani
September 6, 2023 06:15 MYT
September 6, 2023 06:15 MYT
LONDON: Britain akan mengharamkan pasukan upahan Rusia, Kumpulan Wagner dengan melabelkannya sebagai organisasi pengganas.
Laporan media yang memetik kenyataan Setiausaha Dalam Negeri, Suella Braverman menyebut, United Kingdom, (UK) mahu kumpulan Wagner diletakkan sebagai organisasi yang diharamkan di bawah Undang-Undang Antikeganasan sekali gus meletakkannya setanding dengan Daish dan al-Qaeda.
Braverman berkata, Wagner adalah organisasi ganas dan pemusnah yang bertindak sebagai alat ketenteraan Presiden Vladimir Putin di luar negara.
Manakala, rejim Putin memutuskan apa yang perlu dilakukan dengan raksasa diciptanya, aktiviti berterusan Wagner terus mengganggu kestabilan demi memenuhi matlamat politik Kremlin.
Di bawah Akta Keganasan 2000, Setiausaha Dalam Negeri mempunyai kuasa untuk mengharamkan sesebuah organisasi jika mereka percaya ia terbabit dalam keganasan.
Perintah larangan itu menjadikannya satu kesalahan jenayah untuk menyokong kumpulan itu.
Sementara itu, dalam laporan Daily Mail, Braverman berkata, kumpulan itu terbabit dalam rompakan, penyeksaan dan pembunuhan kejam.
Tambahnya, operasi kumpulan itu di Ukraine, Asia Barat dan Afrika "adalah ancaman kepada keselamatan global".
Menurut beliau, faktor itu juga menyebabkan UK melarang pertubuhan pengganas dan terus membantu Ukraine di mana sahaja bagi memerangi Rusia.
Menurut laporan itu, draf langkah untuk mengharamkan kumpulan Wagner di bawah akta itu akan dibentangkan di Parlimen.
Pada Julai, Britain mengumumkan sekatan terhadap 13 individu dan perniagaan yang dikatakan mempunyai kaitan dengan kumpulan Rusia di Afrika, menuduhnya melakukan jenayah di sana termasuk pembunuhan dan penyeksaan.
Pengasas Wagner, Yevgeny Prigozhin, yang meninggal dunia bulan lalu dalam nahas kapal terbang bersama beberapa komander utamanya telah disekat oleh Britain kerana terbabit dalam perang Rusia di Ukraine.
Orang kepercayaan Kremlin yang kemudiannya menjadi pengkhianat, Prigozhin meninggal dunia dua bulan selepas mengarahkan tenteranya untuk menjatuhkan kepimpinan tentera Rusia.