UK berkabung: Putera William, Putera Harry tampil bersama santuni rakyat

Astro Awani
September 10, 2022 07:30 MYT
Kedua-dua putera raja dan isteri mereka meluangkan masa untuk meneliti jambangan bunga itu sebelum menyapa orang ramai. - Foto AP
WINDSOR: Putera Harry dan isterinya Meghan, menyertai Putera William dan Kate di Istana Windsor untuk melihat bunga-bunga yang ditinggalkan orang ramai sebagai penghormatan kepada Ratu Elizabeth II.
Kedua-dua putera raja dan isteri mereka meluangkan masa untuk meneliti jambangan bunga itu sebelum menyapa orang ramai di luar pintu gerbang Istana Windsor pada Sabtu.
Ia adalah penampilan pertama kedua-dua pasangan itu di hadapan umum sejak Ratu Elizabeth II mangkat pada Khamis.
Ratu Elizabeth II
Putera William dan adiknya Putera Harry, bersama-sama dengan Catherine yang kini bergelar Puteri Wales dan Meghan, Duchess of Sussex, membuat penampilan mengejut di Windsor bagi mengucapkan terima kasih kepada orang ramai atas penghormatan bunga dan ucapan takziah mereka.
Ia adalah kali pertama generasi muda diraja dilihat muncul bersama secara terbuka sejak Harry dan Meghan, Duke dan Duchess of Sussex, mengetepikan tugas diraja pada 2020 dan berpindah ke California.
Kejutan menyusul selepas bapa William dan Harry, Raja Charles III, secara rasmi ditabal sebagai raja baharu Britain.
BACA: Pertabalan: Charles III diisytihar Raja Britain dalam majlis penuh istiadat
Majlis pengkebumian negara bagi mendiang Ratu Elizabeth II akan diadakan pada 19 September ini.
#Ratu Elizabeth II #Putera William #Putera Harry #Istana Windsor
;