UK berkabung: Cuti umum di Britain 19 September ini
Faida Rahim
September 12, 2022 10:30 MYT
September 12, 2022 10:30 MYT
LONDON: Kerajaan Britain mengumumkan cuti umum di negara itu pada 19 September ini sempena upacara istiadat pemakaman Ratu Elizabeth II.
Memetik laporan The Guardian, Raja Charles III turut bersetuju dan menitahkan hari upacara pemakaman Ratu Elizabeth diisytiharkan sebagai cuti umum sebagai tanda hormat kepada pemimpin monarki Britain yang paling lama bertakhta dalam sejarah negara itu.
Cuti umum ini memberi peluang kepada rakyat serta penduduk di Britain memberi penghormatan terakhir kepada baginda yang akan dimakamkan di Westminster Abbey.
Difahamkan, cuti umum hari pemakaman baginda sama seperti hari cuti kebangsaan lain di mana majikan syarikat meluluskan cuti ini sebahagian daripada cuti tahunan pekerja.
Jasad baginda kini ditempatkan di Istana Holyroodhouse di Edinburgh selepas melalui perjalanan enam jam dari Istana Balmoral.
Jasad baginda akan ditempatkan di Istana Holyroodhouse sebelum dipindahkan ke Katedral St Giles petang ini, di mana rakyat jelata dijadual memberikan penghormatan terakhir.