UK, Belanda, Jepun gesa rakyat tinggalkan Ukraine

Agensi
Februari 12, 2022 21:40 MYT
Amaran itu berikutan saranan Presiden Amerika Joe Biden pada Khamis yang menggesa rakyat Amerika supaya segera keluar dari Ukraine yang dikhuatiri diceroboh Rusia pada bila-bila masa. Foto - REUTERS
SEKURANG-kurangnya lima lagi negara telah mengeluarkan amaran terhadap rakyat mereka yang masih berada di Ukraine supaya meninggalkan negara itu secepat mungkin.
Selain Amerika Syarikat, negara lain seperti United Kingdom (UK), Belanda, Latvia, Norway dan Jepun turut menggesa rakyat masing-masing supaya keluar dari Ukraine dengan segera.
Amaran itu berikutan saranan Presiden Amerika Joe Biden pada Khamis yang menggesa rakyatnya supaya segera keluar dari Ukraine yang dikhuatiri diceroboh Rusia pada bila-bila masa.
Pada Jumaat, UK menasihatkan warga Britain supaya meninggalkan Ukraine ketika mereka masih mempunyai “pilihan-pilihan komersial” untuk keluar dari negara itu.
“Sebarang tindakan ketenteraan Rusia di Ukraine akan menjejaskan kebolehan Kedutaan Britain di Kyiv untuk menyediakan bantuan konsular,” menurut Pejabat Kementerian Luar UK dalam satu kenyataan.
“Warga Britain tidak sepatutnya menjangkakan sokongan atau bantuan konsular untuk meninggalkan negara itu dalam situasi ini.”
Belanda turut senada dengan amaran yang dikeluarkan oleh Jennes de Mol, Duta Besar Belanda di Kyiv dalam mesyuarat secara maya bersama warga Belanda di Ukraine pada Jumaat.
“Situasi semasa tidak menentu dan boleh berubah menjadi tidak terkawal secara tiba-tiba.
“Oleh itu, kami bertanya sekarang: Adakah benar-benar penting untuk anda kekal di sini? Jika tidak, pertimbang untuk keluar dengan segera,” tegasnya.
Latvia, Norway dan Jepun turut menyeru kepada rakyat mereka supaya meninggalkan Ukraine secepat mungkin, manakala kerajaan Israel pada Jumaat berkata, ia merancang untuk memindahkan ahli keluarga warga diplomat yang bekerja di Ukraine.
Setakat ini, Rusia telah menempatkan lebih 100,000 anggota tentera berhampiran sempadan Ukraine, sekali gus mencetuskan kebimbangan negara-negara Barat bahawa Ukraine bakal diceroboh Rusia.
Baru-baru ini, Jabatan Negara Amerika Syarikat menyatakan bahawa Rusia boleh bertindak pada bila-bila masa dan tanpa sebarang amaran.
#Ukraine #Rusia #amaran #keluar #Jepun
;