UK akan tambah bantuan ketenteraan ke Ukraine - Boris Johnson

Astro Awani
April 24, 2022 08:59 MYT
Johnson juga mengesahkan pada Sabtu, UK akan membuka semula kedutaannya di Kiev minggu depan. (Foto AP)
UNITED Kingdom (UK) akan membantu Ukraine menyalurkan lebih banyak peralatan ketenteraan.
Komitmen itu dinyatakan Perdana Menteri UK Boris Johnson dalam perbualan menerusi telefon dengan Presiden Ukraine Volodymyr Zelensky.
Menurut laporan agensi berita BBC, Johnson memaklumkan akan menghantar lebih banyak kenderaan berperisai, dron dan senjata anti kereta kebal ke Ukraine.
Johnson juga mengesahkan pada Sabtu, UK akan membuka semula kedutaannya di Kiev minggu depan.
Zelenskyy turut mengucapkan terima kasih kepada Johnson kerana membekalkan latihan kepada lebih 20 pasukan tentera Ukraine yang tiba di UK minggu lalu.
Jurucakap Johnson berkata, ia merupakan tanda "sokongan dan solidariti kami terhadap penduduk Ukraine."
Askar Ukraine di UK itu menjalani latihan tentang cara menggunakan 120 kenderaan berperisai yang akan dibekalkan kepada negara itu.
#tentera ukraine #Boris Johnson #United Kingdom #Volodymyr Zelensky
;