Ujian nuklear Korea Utara gugat kestabilan serantau
Astro Awani
Februari 4, 2013 23:42 MYT
Februari 4, 2013 23:42 MYT
Menteri Penyatuan Korea Selatan, Yu Woo-Ik berkata, rancangan Korea Utara melancarkan ujian nuklear ketiganya bakal menjadi ancaman terbesar kepada kestabilan serantau.
Sejak Pyongyang mengumumkan ujian nuklear itu, ia mencetuskan pelbagai aktiviti diplomatik di rantau berkenaan.
Antaranya, latihan tentera laut Korea Selatan dan Amerika Syarikat bagi mempamerkan keupayaan ketenteraan menghadapi Korea Utara.
Latihan terdiri daripada latihan menembak, pergerakan kapal tentera laut dan latihan mengesan kapal selam.
Setakat ini, tarikh ujian nuklear kali ketiga oleh Korea Utara itu tidak diketahui.
Keputusan mengadakan ujian nuklear berkenaan diumumkan Pyongyang bagi membantah tekanan antarabangsa terhadap republik itu yang dikenakan sekatan ketat selepas ujian roket Disember tahun lalu.
Washington, Seoul dan disertai beberapa negara lain telah mendesak Korea Utara membatalkan ujian tersebut atau berdepan tindakan antarabangsa yang lebih berat.
Sementara itu, satelit Korea Selatan, Naro mula menghantar imej yang dirakam dari angkasa lepas.
Imej dikeluarkan kepada media oleh institut penyelidikan aero-angkasa Korea.
Satelit berkenaan antara lain berfungsi mengumpul data cuaca dan menyukat kadar radiasi.
Namun, matlamat lebih besar adalah memajukan lagi industri angkasa lepas agar ia setanding sektor teknologi telefon pintar dan industri automotif.