Ujian GeNose untuk kesan COVID-19 di lapan stesen kereta api Indonesia

Agensi
Februari 16, 2021 11:51 MYT
Ujian GeNose memerlukan penumpang menarik nafas dan melepaskannya sebanyak tiga kali menerusi mulut ke dalam bekas plastik yang disediakan. - Foto CNN Indonesia
JAKARTA: Lain daripada yang lain, syarikat Kereta Api Indonesia (KAI) meletakkan sistem pemeriksaan GeNose c19 bagi mengesan jangkitan COVID-19 di enam buah lagi stesennya bermula 15 Februari 2021.
Sebelum ini, ujian tersebut hanya disediakan di Stesen Pasar Senen dan Yogyakarta namun kini ditambah di enam lagi stesen, lapor CNN Indonesia.
Stesen tersebut ialah Stesen Gambir, Solo Balapan, Bandung, Cirebon, Semarang, Tawang dan Surabaya Pasar Turi sekali gus menjadikan lapan stesen KAI kini dilengkapi dengan GeNose.
Ujian GeNose memerlukan penumpang menarik nafas dan melepaskannya sebanyak tiga kali menerusi mulut ke dalam bekas plastik yang disediakan.
Kemudian, petugas kesihatan akan memeriksanya dan prosedur biasanya mengambil masa kira-kira tiga minit.
Timbalan Pengerusi Perhubungan Awam KAI, Joni Martinus berkata, penambahan sistem tersebut bertujuan memastikan COVID-19 tidak merebak di kawasan stesen diselia mereka.
Tambahnya, penumpang boleh melakukan ujian tersebut pada harga 20,000 rupiah (RM5.79).
“GeNose C19 merupakan hasil sinergi Badan Usaha Milik Negara (BUMN) iaitu antara KAI dan Rajawali Nusantara Indonesia menerusi anak syarikatnya, Rajawali Nusindo serta Universiti Gadjah Mada.
“Jumlah stesen yang dilengkapi dengan GeNose akan terus ditambah secara berperingkat,” katanya.
Tambahnya, penumpang kereta api jarak jauh diwajibkan menunjukkan surat keterangan negatif GeNose atau ujian saringan COVID-19 yang lain dalam tempoh tiga hari sebelum menaiki kereta api.
#Indonesia #Surabaya #kesihatan #COVID-19 #ujian saringan #petugas kesihatan #GeNose #NAFAS #kereta api #Kai
;