Ujian DNA kaitkan lima tertuduh dalam kes rogol beramai-ramai
Astro Awani
Januari 6, 2013 11:24 MYT
Januari 6, 2013 11:24 MYT
Perkembangan perbicaraan awal kes rogol beramai-ramai ke atas pelajar wanita di India, bulan lepas.
Ujian DNA yang dijalankan berjaya mengaitkan lima tertuduh dalam kes berkenaan.
Ia berdasarkan kesan darah yang ditemui pada baju kesemua tertuduh yang sepadan dengan darah mangsa. Selain itu, barangan milik mangsa yang dicuri, telah ditemui pada tertuduh.
Perkara itu didedahkan pendakwaraya, Rajiv Mohan dalam perbicaraan awal di mahkamah New Delhi.
Perbicaraan kes itu akan disambung pada Isnin.
Semua tertuduh termasuk pemandu bas terbabit berusia dalam lingkungan 19 hingga 35 tahun. Mereka didakwa merogol, menculik dan membunuh dan jika disabit kesalahan boleh membawa hukuman mati.
Seorang lagi suspek yang juga remaja berusia 17 tahun akan dibicarakan di Mahkamah Juvana.
Dalam pada itu, polis menafikan dakwaan rakan mangsa yang membuat pendedahan di televisyen bahawa pihaknya lambat bertindak.
Kes itu mendapat liputan meluas selepas mangsa dirogol beramai-ramai sebelum dihumban keluar dari bas. Rakannya pula dibelasah dengan teruk. Mangsa maut di hospital di Singapura akibat kecederaan parah.