Uji kaji vaksin Marburg dimulakan di Rwanda
Bernama
Oktober 6, 2024 04:00 MYT
Oktober 6, 2024 04:00 MYT
KIGALI: Rwanda pada Ahad melancarkan uji kaji vaksin terhadap virus Marburg susulan wabak yang melanda negara itu baru-baru ini, umum pihak berkuasa kesihatan, lapor agensi berita Jerman (dpa).
"Penghantaran awal sebanyak kira-kira 700 dos akan digunakan dalam uji kaji yang menyasarkan petugas barisan hadapan," kata Menteri Kesihatan, Sabin Nsanzimana pada satu sidang media.
Dalam satu kenyataan, Institut Vaksin Sabin yang berpangkalan di Amerika Syarikat berkata, ia telah menyediakan vaksin uji kaji Marburg kepada Rwanda untuk menyokong usaha menangani wabak yang sedang berlaku.
Institut itu menyatakan bahawa ia telah menandatangani perjanjian uji kaji klinikal dengan Pusat Bioperubatan Rwanda dan bahawa vaksin dos tunggal itu berada dalam fasa kedua uji kaji di Uganda dan Kenya tanpa sebarang kebimbangan keselamatan dilaporkan setakat ini.
Wabak demam berdarah yang mengancam nyawa ini - dengan simptom yang serupa dengan Ebola - bermula akhir bulan lepas dan telah menyebabkan 12 orang meninggal dunia.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyatakan peratusan kematian akibat virus Marburg dalam wabak sebelumnya adalah tinggi, iaitu antara 24 hingga 88 peratus.
Simptom termasuk demam panas, sakit otot, kekejangan perut, cirit-birit, muntah berdarah dan pendarahan.
Menurut institut vaksin itu, Marburg "ditularkan daripada kelawar buah kepada manusia, dan merebak dari seorang ke seorang melalui sentuhan dengan cecair badan yang dijangkiti".
Pada masa ini, tiada vaksin atau rawatan antivirus untuk virus ini, menurut WHO. - BERNAMA