Uganda laksana sekatan perjalanan, perintah berkurung bendung Ebola

Bernama
Oktober 16, 2022 12:10 MYT
Pegawai perubatan mengunjungi pesakit di bahagian pengasingan Ebola di Hospital Rujukan Wilayah Mubende, di Mubende, Uganda, 29 Sept 2022. - Gambar fail AP
JOHANNESBURG: Uganda mengenakan sekatan perjalanan masuk atau keluar dari daerah yang dilanda Ebola pada lewat Sabtu bagi membendung penularan penyakit berjangkit itu.
"Tiada pergerakan masuk dan keluar dari daerah Mubende dan Kasanda dibenarkan," kata Presiden Yoweri Museveni dalam ucapannya menerusi televisyen, lapor Agensi Anadolu.
Museveni berkata perintah berkurung dilaksanakan di daerah berkenaan dari 7 malam hingga 6 pagi waktu tempatan.
Uganda mengisytiharkan wabak Ebola bulan lalu selepas penyakit itu dikesan di daerah tengah Mubende.
Museveni berkata 19 orang meninggal dunia dan 58 kes lagi disahkan.
Pemimpin Uganda itu berkata semua kes pengebumian di kedua-dua daerah itu, sama ada disebabkan Ebola atau tidak akan dijalankan pasukan tindak balas kesihatan dan ujian akan dijalankan.
Beliau juga berkata semua tempat ibadat dan hiburan akan ditutup.
Wabak Ebola telah melanda negara Afrika Timur itu sepanjang dua dekad lalu yang setakat ini sudah meragut ratusan nyawa.
-- BERNAMA
#Uganda #Ebola #perintah berkurung #wabak
;