Udang krai 'mengganas', dikhuatiri mendominasi habitat air Jerman

Agensi
Ogos 9, 2018 06:15 MYT
Udang yang dikenali sebagai 'papershell crayfish' ini membiak terlalu pantas hingga mengancam spesies asal di habitat air Jerman. -Reuters
Saiz udang krai Calico tidak terlalu besar dan hanya muat di tapak tangan manusia, namun spesies itu mampu membiak dengan pantas sekali gus memberi ancaman kepada kehidupan akuatik di Jerman.
Udang krai yang juga dikenali sebagai papershell crayfish bagi orang tempatan itu, berasal dari Amerika Utara namun ramai yang hairan bagaimana ia kini boleh sampai ke dalam sumber air Jerman.
Ketua Institut Biologi dan Tumbuhan di Universiti Pendidikan Karlsruhe, Prof Andreas Martens berkata udang krai tersebut tiba di Jerman sekitar 25 tahun lalu dan aktif membiak sejak itu termasuk di Upper Rhine, iaitu bahagian laluan sumber air antara Switzerland dan Jerman.
“Ia adalah kawasan yang berbahaya kerana ia boleh berhijrah melalui darat dan seterusnya masuk ke habitat air lebih kecil, yang sangat penting untuk spesies amfibia.
“Sekali udang krai itu sudah berada dalam kolam-kolam tersebut, ia akan membiak dengan cepat, dan apabila ia mencapai paras penggandaan jumlah yang besar, maka tiada lagi hidupan lain dalam air kecuali udang krai itu,” ujarnya.
Sejak dua tahun lalu, kehadiran udang krai ini menjejaskan ekosistem kolam di bandar Rheinstetten, di barat daya Jerman. Martens memberitahu populasi udang krai itu berganda di lokasi tersebut dan pada tahun depan dijangka berlaku pembiakan pantas.
“Jika itu berlaku, tiada apa yang akan tinggal di sini. Tiada tumbuhan air, tiada apa pun. Hanya air yang keruh,” katanya.
Martens berkata, dia dan rakan-rakan sudah mencuba menguruskan masalah itu, antaranya seperti meletakkan batang-batang pokok di atas tanah supaya udang krai itu tidak dapat melintasi kawasan, kecuali haiwan amfibia.
“Lebih penting, kita perlu berusaha menangkap betina terakhir di sumber air ini supaya kita dapat mengawal pembiakan pantas tahun depan,” ujarnya.
#crayfish #ekosistem #Jerman #spesies asing #udang krai
;