Uber Thailand lancar perkhidmatan motosikal UberMOTO

Syafique Shuib
Februari 24, 2016 19:19 MYT
UberMOTO bakal menjadi pesaing kepada perkhidmatan teksi motosikal yang sedia ada di Bangkok. -Gambar: Twitter/Uber Thailand
UBER memilih Thailand sebagai negara pertama untuk melancarkan perkhidmatan pengangkutan awam persendirian motosikal yang dikenali sebagai UberMOTO.
Walaupun masih lagi dalam peringkat percubaan, atau projek pilot, ia bakal menjadi pesaing kepada perkhidmatan teksi motosikal yang sedia ada di bandar itu.
Pengangkutan sebegini menjadi pilihan utama kepada mereka yang ingin menjimatkan masa untuk perjalanan pendek. dan mengelak daripada kesesakan trafik.
“Motosikal adalah sebahagian daripada budaya di Thiland. Matlamat Uber adalah untuk menyediakan perkhidmatan yang selamat dan berpatutan dengan menekan hanya satu butang.
“Selain menyediakan satu lagi pilihan mudah dan berpatutan untuk perjalanan pendek di sekitar bandar, ia bakal mewujudkan ribuan peluang pekerjaan kepada rakyat Thailad,” kata Ketua pengembangan Asia Uber, Douglas Ma dalam satu kenyataan.
Uber dalam satu kenyataan turut berkata bahawa pemandu UberMOTO mempunyai insurans dan setiap pemandu telah melalui pemerikasaan polis.
Selain itu, setiap penumpang akan diberikan topi keledar sebagai langkah keselamatan.
Bangkok merupakan bandar pertama yang mempunyai perkhidmatan UberMOTO setakat ini.
#Bangkok #perkhidmatan pengangkutan awam persendirian #Thailand #Uber #UberMOTO
;