Uber kini boleh beroperasi secara sah di London
Shuhami Zabri
Oktober 16, 2015 22:45 MYT
Oktober 16, 2015 22:45 MYT
Perkhidmatan Uber kini boleh beroperasi secara sah di London.
Ia berikutan keputusan mahkamah tinggi hari ini yang membenarkan perkhidmatan Uber menggunakan aplikasinya bagi perjalanan operasi.
Sebelum ini, Uber berdepan dengan saman pihak berkuasa pengangkutan, Transport for London (TFL) atas dakwaan aplikasi Uber digunakan sebagai meter teksi yang sebelum ini hanya boleh digunakan oleh teksi hitam London.
TFL memfailkan saman itu berikutan desakan oleh pemandu teksi hitam dan kereta sewa di London.
Namun, Hakim Ouseley dalam penghakimannya memutuskan aplikasi perhidmatan mudah alih Uber bukan meter teksi.
"(Aplikasi Uber) bukanlah alat untuk mengira tambang dengan sendirinya atau dengan sambungan kepada 'pelayan' dan sekalipun ia mempunyai keupayaan itu, kenderaan (Uber) tidak dilengkapi dengan fungsi tersebut," katanya.
Sementara itu, Uber menyambut baik keputusan mahkamah berkenaan dan menyifatkan ia sebagai satu kemenangan untuk penumpangnya.
"Kini mahkamah telah memihak kepada penggunaan teknologi baharu. Kami berharap Transport for London akan menimbang semula beberapa cadangan bagi mengenakan peraturan bagi penggunaan aplikasi seperti Uber," kata Pengurus Besar Wilayah Uber bagi United Kingdom, Ireland dan Scandinavia.
Pada masa sama, Uber bercadang untuk meminta TFL bagi mempertimbangkan pengecualian beberapa peraturan sedia ada.
"Cadangan mewajibkan penumpang Uber untuk menunggu selama lima minit dan larangan berkongsi kenderaan tidak sesuai untuk penumpang serta pemandu. Cadangan itu tidak masuk akal.
"Faktor itu yang mendorong lebih 130,000 orang menandatangani petisyen menentang cadangan itu. Kami harap TFL akan mendengar permintaan warga London itu serta membenarkan Uber untuk terus berkembang," katanya.