Ubat selesema punca PM Jepun dilihat terlelap di Parlimen

Bernama
November 12, 2024 18:12 MYT
Ishiba dilihat tertidur seketika semasa sesi Parlimen pada Isnin. - Gambar/ Bernama
TOKYO: Ubat selesema menjadi punca Perdana Menteri Jepun Shigeru Ishiba dilihat tertidur seketika semasa sesi Parlimen pada Isnin, lapor Agensi Berita Kyodo memetik kenyataan jurucakap utama kerajaan.
Dalam sidang media selepas sesi pleno Dewan Perwakilan yang menyaksikan Ishiba dipilih sebagai perdana menteri, Ketua Setiausaha Kabinet Yoshimasa Hayashi turut menolak spekulasi bahawa pemimpin berusia 67 tahun itu jatuh sakit akibat keletihan.
"Perdana menteri sangat sibuk setiap hari, bekerja hingga lewat malam dan saya difahamkan beliau kurang sihat dan mengambil ubat selesema.
"Setahu saya, tiada sebarang isu berkaitan kesihatannya," kata Hayashi.
Selepas rakaman video menunjukkan Ishiba tunduk dan seolah-olah memejamkan mata sebentar semasa menunggu keputusan undian dalam sesi Diet dimuat naik ke media sosial, pengguna dengan pantas memberi pelbagai reaksi termasuk kenyataan seperti, "Saya tak percaya beliau boleh tidur seperti itu."
Parti Demokratik Liberal Ishiba dan gabungannya hilang majoriti dalam pilihan raya umum pada 27 Okt lalu, memaksa perdana menteri itu mengetuai kerajaan minoriti yang dijangka berdepan cabaran dalam melaksanakan dasar utama termasuk pembentangan belanjawan.
-- BERNAMA
#Jepun #pilihan raya #Shigeru Ishiba #tidur
;