Ubat malaria disyorkan Trump sekali lagi gagal ujian rawatan COVID-19

Agensi
Mei 8, 2020 11:39 MYT
Ubat malaria yang sering diuar-uarkan oleh Presiden Trump sebagai rawatan COVID-19 gagal menunjukkan penambahbaikan dalam kalangan pesakit. Foto - REUTERS.
UBAT malaria yang sering diuar-uarkan Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump sebagai rawatan COVID-19, sekali lagi gagal menunjukkan manfaat kepada pesakit positif virus itu, menurut satu kajian baharu pada Khamis.
Walaupun wujud kekangan dalam kajian yang diterbitkan New England Journal of Medicine itu, namun para doktor dan pengkaji melaporkan penggunaan hydroxychloroquine tidak akan mengurangkan risiko kematian atau keperluan bantuan pernafasan dalam kalangan pesakit COVID-19.
“Kami tidak lihat sebarang kaitan antara ubat ini dan kurangnya risiko kematian atau masalah pernafasan,” kata ketua pengkaji Dr Neil Schluger kepada Reuters.
“Pesakit yang menggunakan ubat itu juga tidak menunjukkan sebarang penambahbaikan.”
Dalam kalangan pesakit yang menggunakan hydroxychloroquine, 32.3 peratus akhirnya masih memerlukan ventilator ataupun telah meninggal dunia, berbanding 14.9 peratus yang tidak menggunakannya.
COVID-19: Kajian penawar malaria dihentikan apabila 11 pesakit meninggal dunia
Namun, dalam kajian itu, doktor didapati lebih cenderung memberikan hydroxychloroquine kepada pesakit yang mengalami simptom lebih teruk.
Ini menyebabkan pengkaji di Hospital Presbyterian New York dan Pusat Perubatan Irving di Universiti Columbia menyesuaikan kadar peratusan berdasarkan kekangan itu.
Mereka rumuskan bahawa ubat itu mungkin tidak mendatangkan risiko kepada pesakit, namun ia juga tidak membantu merawat COVID-19.
What to know about malaria drug and coronavirus treatment
Kajian itu membabitkan 811 pesakit yang menerima rawatan hydroxychloroquine manakala 565 yang lain tidak menggunakan ubat itu.
Hydroxychloroquine yang telah wujud sejak berdekad lalu juga digunakan untuk rawatan lupus dan arhthritis rheumatoid.
COVID-19: Saintis dakwa diturun pangkat kerana cuba halang rawatan guna ubat malaria
Pada April, doktor di Jabatan Hal Ehwal Veteran Amerika Syarikat melaporkan bahawa ubat itu tidak membantu pesakit COVID-19 dan mungkin meningkatkan risiko kematian.
COVID-19: Ubat antimalaria disyor Trump dikaitkan dengan peningkatan kematian
Analisis mereka pula menunjukkan kadar kematian sebanyak 28 peratus apabila ubat itu digunakan, berbanding hanya 11 peratus dengan rawatan biasa.
Sekadar sindiran... - Trump nafi cadang suntikan pembasmi kuman rawat COVID-19
Sehingga kini, tiada rawatan khusus COVID-19 yang disahkan, namun syarikat Gilead Sciences Inc pada minggu lepas mendapat kelulusan kecemasan daripada pihak berkuasa untuk menggunakan ubat remdesivir keluaran syarikat itu.
#Amerika Syarikat #COVID-19 #Donald Trump #Hydroxychloroquine #koronavirus #malaria #ubat COVID-19 #vaksin
;