Ubat diabetes diluluskan bagi pengurusan dan penurunan berat badan

Bernama
November 9, 2023 20:44 MYT
Pesakit yang mempunyai masalah kesihatan berkaitan berat badan boleh mendapat akses kepada Tirzepatide jika ia mendapat kelulusan lanjut daripada NICE. - Gambar AP/Eli Lilly
LONDON: Tirzepatide, sejenis ubat diabetes telah menerima kelulusan membantu individu yang mengalami obesiti dan berat badan berlebihan bagi mengurus dan menurunkan berat badan, menurut Agensi Kawal Selia Ubat dan Produk Penjagaan Kesihatan (MHRA).
Pesakit yang mempunyai masalah kesihatan berkaitan berat badan seperti pradiabetes, tekanan darah tinggi, kolesterol tinggi atau masalah jantung - boleh mendapat akses kepada Tirzepatide jika ia mendapat kelulusan lanjut daripada Institut Kebajikan dan Kesihatan Nasional (NICE), lapor PA Media.
Ubat suntikan penurunan berat badan yang juga dikenali sebagai Mounjaro, telah mendapat kelulusan penggunaan oleh NICE pada September sebagai pilihan untuk pesakit diabetes jenis dua yang tidak dapat mengawal masalah diabetes mereka.
Setiausaha Kesihatan Steve Barclay berkata: "Walaupun kelulusan lanjut diperlukan untuk menggunakan kaedah ini di NHS, Mounjaro mempunyai potensi membantu beribu-ribu orang yang menghidap obesiti dan mereka yang menderita penyakit berkaitan berat badan - jika digunakan bersama-sama amalan diet dan aktiviti fizikal.
Bahan aktif dalam ubat itu berfungsi membuat pesakit berasa kenyang dan kurang lapar, serta mengurangkan keinginan pesakit untuk makan.
Kelulusan MHRA adalah berdasarkan keputusan dua ujian klinikal, yang menunjukkan pesakit yang dirawat dengan Tirzepatide "mengalami penurunan berat badan yang signifikan dari semasa ke semasa berbanding pesakit yang mengambil plasebo."
Agensi itu turut memberi amaran bahawa ubat itu boleh menjejaskan keberkesanan pil perancang dalam kalangan pesakit wanita.
Ia juga menyenaraikan kemungkinan kesan sampingan yang dialami, termasuk loya, cirit-birit, muntah - yang biasanya hilang dengan peralihan masa - dan sembelit.
MHRA berkata ia akan terus meneliti keselamatan dan keberkesanan Mounjaro.
-- BERNAMA
#Tirzepatide #MHRA #masalah jantung #berat badan
;