Ubat COVID-19: EU tandatangan perjanjian dengan GSK

Astro Awani
Julai 28, 2021 07:58 MYT
Perjanjian itu meningkatkan dorongan kepada GSK dalam usaha mencari rawatan COVID-19 selepas ia hanya dapat memainkan peranan yang terhad dalam pembangunan vaksin. - Gambar fail
BRUSSELS: KESATUAN Eropah (EU) menandatangani kontrak bersama GlaxoSmithKline (GSK) bagi pembekalan hingga 220,000 rawatan terapi sotrovimab antibodi monoklonal untuk COVID-19.
Ubat ini dibangunkan bersama firma Amerika Syarikat Vir Biotechnology, boleh digunakan untuk rawatan pesakit koronavirus berisiko tinggi dengan gejala ringan, yang tidak memerlukan oksigen.
Perjanjian itu meningkatkan dorongan kepada GSK dalam usaha mencari rawatan COVID-19 selepas syarikat itu memainkan peranan kecil dalam pembangunan vaksin.
Daripada membuat suntikan vaksin COVID-19 sendiri, GSK telah fokus kepada menyediakan suntikan tambahan kepada syarikat pembuat vaksin lain dan bekerjasama dengan Sanofi untuk tujuan itu.
GSK mengesahkan perjanjian itu dalam satu kenyataan pada Rabu.
Syarikat itu menyifatkan ia merupakan satu "langkah penting untuk menangani kes COVID-19" di Eropah.
Ubat tersebut ketika ini sedang dinilai oleh Agensi Ubat-Ubatan Eropah (EMA).
Ia telah mendapat kelulusan kecemasan di Amerika Syarikat untuk merawat pesakit COVID-19 gejala ringan hingga sederhana yang berisiko tinggi mengalami jangkitan yang teruk.
Kontrak tersebut disokong 16 dari 27 negara EU yang dapat membeli ubat tersebut hanya setelah ia diluluskan oleh EMA.
Harga yang dipersetujui untuk pembelian itu belum didedahkan.
Antibodi monoklonal meniru antibodi semula jadi yang dihasilkan oleh tubuh untuk melawan jangkitan.
#COVID-19 #Amerika Syarikat #EU #jangkitan #Kesatuan Eropah #koronavirus #suntikan #vaksin #GSK #Sanofi #EMA #Vir Biotechnology #GlaxoSmithKline #pesakit berisiko tinggi #gejala ringan #perjanjian #pembelian #kontrak #terapi sotrovimab #rawatan #antibodi monoklonal
;