Ubat batuk buatan India didakwa punca 66 kematian di Gambia - WHO

Astro Awani
Oktober 6, 2022 09:10 MYT
Maiden Pharmaceuticals mengeluarkan ubat-ubatan di kemudahannya di India yang kemudiannya dijual di dalam negara serta mengeksportnya ke negara-negara di Asia, Afrika dan Amerika Latin. - Gambar hiasan
GENEVA: Kematian puluhan kanak-kanak di Gambia akibat kecederaan buah pinggang berkemungkinan dikaitkan dengan ubat batuk dan selesema tercemar yang dihasilkan oleh pengeluar ubat di India.
Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), pihaknya sedang menjalankan siasatan bersama pengawal selia India dan pembuat ubat, Maiden Pharmaceuticals yang berpangkalan di New Delhi.
Menurut Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus, WHO juga mengeluarkan amaran produk perubatan dan meminta pengawal selia mengeluarkan barangan Maiden Pharma daripada pasaran.
Jelasnya, produk itu mungkin telah diedarkan ke tempat lain melalui pasaran tidak rasmi namun setakat ini hanya dikenal pasti di Gambia.
Amaran dikeluarkan WHO meliputi empat produk ubat batuk jenis sirap.
Kata WHO, analisis makmal mengesahkan dietilena glikol dan etilena glikol dijumpai dalam kuantiti yang tidak boleh diterima dan boleh menjadi toksik apabila dimakan.
Bulan lalu, kerajaan Gambia menjalankan siasatan punca kematia.n dan peningkatan kes kecederaan buah pinggang dalam kalangan kanak-kanak di bawah umur lima tahun yang dikesan sejak akhir Julai.
Seramai 66 kanak-kanak yang mengambil ubat batuk itu dilaporkan WHO telah meninggal dunia akibat masalah buah pinggang.
Maiden Pharmaceuticals mengeluarkan ubat-ubatan di kemudahannya di India yang kemudiannya dijual di dalam negara serta mengeksportnya ke negara-negara di Asia, Afrika dan Amerika Latin.
#ubat batuk #buah pinggang #Kanak-kanak #WHO
;