UAE umumkan kejayaan hantar 400 tan bantuan makanan kepada penduduk Gaza
Bernama
Mei 5, 2024 05:45 MYT
Mei 5, 2024 05:45 MYT
ABU DHABI: Emiriah Arab Bersatu (UAE) menerusi kerjasama rapat dengan American Near East Refugee Aid (Anera), mengumumkan kejayaan penghantaran 400 tan bantuan makanan kepada penduduk Gaza, yang dikhususkan kepada utara Semenanjung Gaza.
Agensi Berita Emiriah melaporkan penyampaian dan pengagihan makanan untuk menyelamatkan nyawa itu bagi 120,000 orang, sejajar dengan komitmen UAE untuk menyediakan bantuan dan menangani krisis kemanusiaan di Gaza.
Menteri Kerjasama Antarabangsa Reem Al Hashimy berkata kejayaan penghantaran dan pengagihan bantuan makanan ke Semenanjung Gaza dengan selamat, terutamanya utara Gaza menandakan peningkatan ketara dalam tindakan itu.
“Kami tetap kekal komited dalam pendirian kami bersolidariti dengan rakyat Palestin bagi mengurangkan penderitaan penduduk di Semenanjung Gaza.
"UAE yang bekerjasama dengan rakan antarabangsa semakin yakin dari sebelum ini untuk memperhebatkan lagi segala usaha bagi memastikan bantuan itu sampai kepada mereka yang amat memerlukan,” katanya.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Anera, Sean Carroll berkata pertubuhan itu dan mereka yang menerima perkhidmatannya amat menghargai bantuan daripada kerajaan dan rakyat UAE, yang membolehkan mereka menyampaikan bantuan makanan ke utara Gaza.
Berikutan peruntukan US$15 juta di bawah Dana Amalthea untuk menyokong penghantaran bantuan ke Gaza, UAE terus bekerjasama dengan rakan dan badan antarabangsa untuk menyampaikan bantuan dan makanan melalui jalan darat, laut dan udara bagi mengukuhkan tindak balas kemanusiaan dan memenuhi keperluan penduduk di Semenanjung itu.
UAE telah menyampaikan lebih daripada 31,000 tan bekalan kemanusian segera termasuk makanan, item keperluan dan perubatan, dihantar menerusi 256 penerbangan, 46 jatuh udara, 1,231 trak dan enam kapal.
Tambahan pula, UAE telah memulakan beberapa projek bantuan mampan lain untuk membekalkan air dan makanan kepada penduduk di Gaza.
Usaha ini termasuk membina lima bakeri automatik bagi memenuhi keperluan 72,000 orang, membekalkan tepung kepada lapan bakeri sedia ada untuk memenuhi keperluan 17,140 orang dan membina enam loji penyahmasinan yang memberi manfaat kepada 600,000 orang sehari.
-- BERNAMA-WAM