ABU DHABI: Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada Sabtu telah menghantar pesawat bantuan pertama yang membawa 100 tan makanan, perubatan dan bantuan kemanusiaan untuk membantu mangsa banjir dan hujan lebat yang melanda Brazil baru-baru ini.

Pesawat itu dihantar di bawah arahan Presiden Sheikh Mohamed bin Zayed Al Nahyan.

Menteri Negara bagi Kerjasama Antarabangsa, Reem Ebrahim Al Hashimy berkata sistem pemantauan UAE yang mantap mengesan pelbagai bencana alam termasuk banjir dan kesannya.

"Apabila bencana ini melanda dan menyebabkan kerosakan, UAE segera memberikan bantuan kemanusiaan segera melalui program bantuan luar negaranya.

"Bantuan ini membantu rakyat di negara-negara yang terjejas untuk pulih daripada kemusnahan, terutamanya kumpulan yang terdedah seperti wanita, kanak-kanak dan warga emas," katanya.

Menteri tersebut menyatakan bahawa pesawat yang dihantar itu membawa 100 tan bantuan, perubatan dan makanan, dengan dua lagi pesawat dijadual dihantar dalam tempoh dua hari lagi membawa 200 tan bantuan, menjadikan jumlah bantuan yang akan diberikan sekitar 300 tan selaras dengan usaha bantuan UAE.

-- BERNAMA