UAE kutuk serangan kejam sasar kediaman Duta UAE di Sudan

Bernama
September 30, 2024 13:00 MYT
Emiriah Arab Bersatu mengutuk serangan kejam yang menyasarkan kediaman Ketua Misi UAE di Khartoum oleh sebuah pesawat tentera Sudan yang mengakibatkan kerosakan teruk pada bangunan itu. - Gambar Reuters
ABU DHABI: Emiriah Arab Bersatu (UAE) mengutuk sekeras-kerasnya serangan kejam yang menyasarkan kediaman Ketua Misi UAE di Khartoum oleh sebuah pesawat tentera Sudan yang mengakibatkan kerosakan teruk pada bangunan itu.
UAE telah menyeru tentera Sudan untuk bertanggungjawab sepenuhnya atas tindakan pengecut berkenaan, lapor Agensi Berita Emirates (WAM).
Kementerian Luar Negeri (MoFA) dalam satu kenyataan menegaskan, pihaknya akan menyerahkan surat kepada Liga Arab, Kesatuan Afrika dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu berhubung serangan itu oleh Angkatan Bersenjata Sudan.
Menurut kementerian itu, ia merupakan pelanggaran terang-terangan terhadap prinsip ketakbolehcabulan premis diplomatik.
Kementerian itu menekankan kepentingan melindungi bangunan diplomatik dan kediaman kakitangan kedutaan, selaras dengan perjanjian dan adat yang mengawal hubungan diplomatik.
Kementerian Luar Negeri turut menyatakan kecaman kerasnya terhadap tindakan jenayah itu dan penolakan tegas terhadap semua bentuk keganasan yang bertujuan menjejaskan keselamatan dan kestabilan, bertentangan dengan undang-undang antarabangsa. - BERNAMA
#Emiriah Arab Bersatu #serangan kejam #pesawat tentera Sudan #Liga Arab
;